Sebuah Terbitan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura

Isu Warna: Usaha Menghijaukan Kampus

Dalam edisi ini kita selidiki daya usaha masyarakat NUS untuk memelihara kehijauan bumi. Dapatkan juga petua-petua memelihara kehijauan alam di musim cuti.

green-recycle-img1.jpg

                                             Sumber: http://explore.toshiba.com/innovation-lab/green

Usaha Menghijaukan Kampus

Menurut sebahagian pakar sains, perubahan iklim telah menyebabkan bencana alam berlaku dengan lebih kerap berbanding sebelumnya. Peningkatan paras laut, banjir dan kemarau yang semakin kerap lagi berlarutan serta bencana alam yang semakin teruk seperti taufan Katrina dan Nargis sedikit-sebanyak disebabkan oleh perubahan iklim yang berlaku semenjak sekitar seratus tahun yang lalu. Dewasa kini, pelbagai kempen pemuliharaan alam semulajadi dan langkah-langkah menangani perubahan iklim dilancarkan seperti Hari Dunia yang diadakan pada setiap 22 haribulan April, konsert Live Earth yang berlangsung selama 24 jam pada 7 Julai yang lalu dan perjanjian antarabangsa berkaitan alam sekitar seperti Piagam Kyoto. Dalam LENSA KAMPUS kali ini kami selidiki langkah-langkah yang telah diambil oleh masyarakat NUS baru-baru ini untuk menangani perubahan iklim dan memelihara kehijauan alam.

 

Sepanjang beberapa bulan yang lalu langkah-langkah untuk menjadikan kampus NUS lebih mesra alam dan menangani ancaman perubahan iklim telah diterajui oleh NUSSU SAVE (Persatuan Pelajar Universiti Kebangsaan Singapura, Pelajar Menentang Pencemaran Bumi) dan Campus Sustainability Committee(Jawatankuasa Pengekalan Kampus NUS).

Pada awal tahun ini NUSSU telah membentuk Piagam Alam Sekitar sementara NUSSU SAVE telah menganjurkan kempen ‘Living With Gaia’ dan ‘One Degree’ untuk meningkatkan kesedaran masyarakat NUS terhadap kesan buruk akibat peningkatan suhu bumi dan perubahan iklim. Selain itu usaha mengurangkan penggunaan plastik di kampus juga telah diterapkan dalam projek ‘Rebate2Earth’ di mana beg plastik tidak lagi diberi secara percuma dengan setiap pembelian di NUS COOP. Malahan $0.10 dikenakan bagi setiap beg plastik yang diminta di situ serta di kedai-kedai minuman dan buah-buahan sekitar kampus. Sejauh ini hanya sekitar 3,000 beg plastik telah digunakan di NUS COOP setiap bulan berbanding 40,000 beg dalam tempoh yang sama sebelum berlangsungnya projek ‘Rebate2Earth’. Selain itu langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan kertas demi memulihara kehijauan bumi juga telah dilakukan dengan memastikan semua mesin pencetak di dalam kampus akan mencetak pada kedua belah muka kertas secara automatik.

Sebagai peneraju utama usaha memelihara alam sekitar di dalam kampus, NUS CSC telah menganjurkan beberapa program baru-baru ini. Kotak-kotak kitar-semula telah disediakan di luar dewan-dewan peperiksaan dan sekitar kampus semasa minggu peperiksaan bagi menggalakkan para pelajar mengitar semula nota-nota yang tidak digunakan lagi. Jawatankuasa tersebut juga telah menyarankan agar suhu pada semua alat hawa dingin di kampus ditetapkan pada 25 darjah selsius bagi menjimat tenaga.

Namun, dalam kesibukan menikmati musim cuti mahupun bekerja secara sambilan, janganlah lupa untuk memainkan peranan anda dalam menangani perubahan iklim. Lensa Kampus menyarankan beberapa langkah yang boleh diambil oleh para pelajar untuk memelihara kehijauan alam semulajadi di musim cuti ini.

1. Kitar semula nota-nota yang tidak dimahukan lagi dengan menghantarnya ke tong-tong kitar semula yang berdekatan dengan rumah anda. Sebaliknya, anda juga boleh menjual nota-nota dan buku-buku yang tidak diperlukan lagi kepada mereka yang bercadang untuk mengambil modul yang telah anda pelajari menerusi lelaman IVLE. Sebaliknya anda juga boleh membeli buku dan nota-nota terpakai untuk menjimat wang dan penggunaan kertas.

2. Jika anda bercadang untuk bercuti, cuba pastikan percutian anda hijau dan mesra alam. Kurangkan pengeluaran karbon dioksida dengan elakkan menaiki kapal terbang jika tidak perlu. Penerbangan seorang dari Singapura ke Kuala Lumpur misalnya boleh mengeluarkan sebanyak 52kg karbon dioksida manakala perjalanan yang sama dengan menaiki bus hanya mengeluarkan 26kg karbon dioksida. Untuk membuat perbandingan untuk jumlah karbon dioksida yang dihasilkan daripada percutian anda sila lungsuri lelaman ini.

3. Selain daripada mengitar semula bahan kertas, gelas dan plastik tahukah anda bahawa anda juga boleh mengitar semula telefon bimbit, baterinya dan alat-alat komputer. Dengan melakukan demikian anda dapat memelihara alam sekitar serta membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki komputer. Untuk maklumat lanjut tentang mengitar semula telefon bimbit dan alat-alat tambahannya serta alat-alat komputer sila lungsuri lelaman Majlis Persekitaran Singapura.

Akhir kata, elakkan daripada terus mencemar keindahan alam semulajadi untuk manfaat masyarakat sedunia hari ini dan di kemudian hari. Walau sekecil mana pun langkah yang diambil, jika dilakukan secara konsisten akhirnya akan membawa keuntungan bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Oleh Amira Abdul Rahim

Tags: , ,

No Responses to “Isu Warna: Usaha Menghijaukan Kampus”

  1. akudeta.com » Blog Archive » Kata Editor Says:

    [...] Usaha menghijaukan kampus [...]

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.