Sebuah Terbitan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura

Isu Warna: Obsessi masyarakat Melayu dengan ilmu hitam

Ilmu hitam pada zaman ini?

Secara logiknya adalah sesuatu yang memeranjatkan sekiranya ilmu hitam masih lagi diamalkan pada hari ini. Malangnya, sikap ta’sub atau obsessi masyarakat terhadap amalan ilmu hitam masih lagi dapat dikesan dengan jelas. Mengapakah ini masih lagi berlaku? Adakah masyarakat hari ini gemar mengambil jalan mudah untuk menghuraikan masalah dengan menunding jari terhadap ilmu hitam di sebalik setiap peristiwa yang berlaku?

Sepatutnya, amalan ilmu hitam sudah lama pupus ditelan zaman. Ini kerana, dunia hari ini telah memasuki fasa yang baru; pelbagai bentuk ilmu hitam seperti pukau dan santau tidak wajar diberi penekanan dalam era globalisasi. Tambahan pula, struktur pendidikan formal masa kini menitik-beratkan soal pemikiran kritikal serta pembangunan holitistik seseorang bukan sahaja dari sudut intelek, malah dari segi fizikal, sosial, ekstetik dan juga moral.

Oleh itu, adalah tidak wajar bagi masyarakat memberi tumpuan terhadap kepercayaan yang menyekat keupayaan berfikir secara rasional serta pembangunan masyarakat secara amnya.Selain itu, penulis berpendapat, kenyataan bahawa kepesatan ilmu dalam bidang sains dan teknologi dapat membuka minda masyarakat ternyata kurang benar. Pawang, air jampi dan dukun sering dijadikan tempat rujukan sama ada primer atau sekunder. Lebih membimbangkan lagi sekiranya amalan ilmu hitam atau dalam istilah lain dikenali sebagai perubatan tradisional turut menjadi satu alternatif tatkala para doktor pakar gagal memberi penawar.

Dari pandangan mata kasar kita, pawang dan dukun hanya memberi ‘air sejuk’ (air jampi) dengan sedikit bacaan. Namun, pada mereka yang yakin dan berpegang teguh pada azimat ilmu hitam, perkara itu adalah ubat bagi pelbagai penyakit dan masalah di dunia ini. Kedatangan ajaran Islam sepatutnya dapat menghakis, sekaligus melenyapkan amalan dan kepercayaan masyarakat rantau ini mengenai ilmu hitam. Islam telah menggariskan dengan jelas bahawa amalan ilmu hitam seperti sihir, memuja dan meminta bantuan jin secara terang-terangan sememangnya boleh berlaku, tetapi perkara itu adalah salah di sisi agama.

Namun yang merunsingkan, di sebalik faktor-faktor seperti peredaran zaman, perubahan sistem pendidikan, kemajuan sains dan teknologi, serta juga garis pandu yang ketat di sisi agama, kepercayaan ilmu hitam masih lagi agak berleluasa dalam kalangan sesetengah golongan masyarakat Melayu. Malah, ilmu hitam seolah-olah telah menjadi satu perkara yang sudah sinonim dengan masyarakat kita. Dewasa ini, masyarakat serantau telah digembar-gemburkan dengan isu ‘sms ilmu hitam’. Adakah masyarakat kita masih lagi terbawa-bawa dengan kepercayaan jahiliah dahulu kala? Jika masyarakat di Afrika terkenal dengan kepercayaan sihir yang dinamakan Voodoo, adakah masyarakat melayu mahu mengekalkan fenomena ilmu hitam sebagai lambang kebanggaan mereka?

Di sebalik kekalutan mengenai ilmu hitam, setiap daripada kita perlu ingat kesan negatif yang timbul daripada sikap obsessi masyarakat terhadap amalan ilmu hitam.Sememangnya kehidupan manusia itu tidak pernah sepi daripada masalah. Untuk meneruskan kehidupan, setiap masalah yang dihadapi perlu dicari punca dan penyelesaiannya. Namun begitu, tidak semua orang melihat satu-satu masalah itu dari sudut yang sama. Justeru, penyelesaian yang dipilih itu berlainan daripada satu individu kepada satu individu yang lainnya. Perkara itu bergantung kepada kepercayaan, cara pemikiran, keadaan sekeliling serta faktor-faktor yang lainnya.

Beberapa bulan yang lalu, seluruh Singapura telah digemparkan dengan berita Mas Selamat yang berjaya melarikan diri dari pusat tahanan Whitley Road. Penjelasan yang telah diberikan adalah bahawa beliau telah berjaya melarikan diri ketika beliau diberikan masa untuk ke tandas. Seperti biasa, berita-berita sensasi sebegini pastinya akan menjadi topik perbincangan ramai. Justeru, berbagai ‘teori’ yang cuba menjelaskan bagaimana perkara yang mustahil itu boleh berlaku turut kita dengar. Namun, ‘teori’ yang paling menarik hati penulis adalah ‘teori’ yang menyatakan bahawa beliau telah menggunakan ilmu hitam untuk membantunya.Para pembaca sekelian, jikalau benar beliau telah melarikan diri dengan menggunakan ilmu hitam, mengapa tidak dari dulu beliau menggunakannya? Mengapa membiarkan diri dikurung di pusat tahanan berkali-kali, walhal sahabat karibnya pernah menyatakan bahawa beliau sangat membenci dan tidak betah dengan kehidupan sebagai seorang tahanan? Malah, mengapa beliau membenarkan dirinya ditangkap sejak mula lagi? Dan fikirkanlah, sekiranya beliau mempunyai kuasa ilmu hitam, mengapa tidak digunakan kuasa itu untuk melaksanakan rancangan-rancangan pengganasannya itu? Pasti berjaya, bukan?

Seperti yang telah dinyatakan tadi, setiap masalah perlu dicari punca dan penyelesaiannya. Sekarang kita amati kes ini. Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew telah menyatakan bahawa ini terjadi kerana kecuaian yang disebabkan oleh sikap sambil lewa. Maka penyelesaiannya adalah dengan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut, seperti meningkatkan disiplin dalam kalangan pengawal, meningkatkan tahap keselamatan dan sebagainya. Namun, sekiranya pihak yang bertanggungjawab turut menunding jari ke arah ilmu hitam sebagai puncanya, maka apakah penyelesaian yang hendak diusahakan? Mendapatkan khidmat seorang tok bomoh yang lebih hebat, atau bagaimana?

Kita beralih pula kepada kisah Sufiah Yusof yang telah menggemparkan dunia dengan pilihannya untuk menjadi seorang pelacur. Walhal, beliau adalah seorang yang dikagumi kejayaannya dalam bidang akademik. Justeru, untuk membantunya, segolongan masyarakat Melayu di United Kingdom (UK) telah menggunakan lelaman web mereka sebagai wadah untuk mendapatkan sokongan kewangan untuk membawa satu delegasi dari Malaysia ke UK. Mereka percaya bahawa Sufiah telah disihir untuk memilih jalan yang sedemikian. Justeru, tujuan delegasi tersebut adalah untuk ‘merawat’ Sufiah, dan diketuai oleh seorang Ustaz yang dikatakan pakar dalam bidang perubatan sihir.

Para pembaca sekelian, apakah anda turut akur bahawa Sufiah telah disihir untuk memilih jalan yang sedemikian? Apakah anda juga percaya bahawa beliau melakukan semuanya bukan atas kerelaan hatinya sendiri?Dalam satu wawancara eksklusif bersama Sufiah yg tersebar luas di internet menyatakan bahawa beliau menerimat bayaran sebanyak £130 ( S$347) untuk setiap jam yang dihabiskan bersama pelanggannya. Sufiah juga turut menerima hadiah-hadiah yang mahal dan berjenama daripada mereka. Beliau sendiri menyatakan bahawa golongan wanita yang melibatkan diri dalam kancah pelacuran secara rela tidak wajar dianggap sebagai satu penindasan. Pemikiran sedemikian dikatakan sudah lapuk, dan beliau akui bahawa beliau sendiri berpuas hati dan berasa seronok dengan pekerjaannya sekarang.Fikirkanlah, adakah pengakuan seperti ini lahir dari seseorang yang tidak sedar akan perbuatannya? Adakah mungkin Ustaz itu akan dapat ‘merawat’ Sufiah dan membawanya kembali ke pangkal jalan?

Bukanlah niat penulis untuk menyatakan bahawa ilmu-ilmu seperti itu hanyalah karut semata-mata, apatah lagi memperlekehkan kepakaran sesiapa jua. Seperti yang telah diterangkan dalam bahagian awal artikel ini, penulis percaya akan kewujudan makhluq-makhluq halus ini dan percaya juga dengan kewujudan ilmu sihir. Namun begitu, adalah sesuatu yang merungsingkan penulis apabila melihat kecenderungan yang sangat mendalam dalam kalangan segolongan masyarakat Melayu kita ini dengan hal-hal tersebut, serta juga faktor-faktor yang mengekalkan pemikiran yang sedemikian. Apabila perniagaan kita gagal setelah berkali-kali mencuba, kita salahkan kepada sang ‘pendengki’ yang telah menggunakan ilmu hitam untuk menggagalkan kita. Apabila anak remaja kita tergila-gila kan pasangannya sehingga sanggup melarikan diri dari rumah, kita salahkan pasangannya kerana telah menggunakan ilmu hitam untuk melarikan anak kita (dah, dah kena ‘buat’ lah tu!). Maka pergilah kita mencari tok bomoh yang terhandal untuk meminta ‘azimatnya. Para pembaca sekelian, mengapa jalan penyelesaian itu yang kita pilih walhal terdapat seribu satu kemungkinan lain yang boleh menjadi sebabnya, dan boleh kita usahakan dengan lebih praktikal penyelesaiannya?

Para pembaca sekelian, sudah tiba masanya kita berhenti daripada mengutamakan ilmu hitam sebagai punca di sebalik setiap peristiwa, apatah lagi menggunakannya untuk mencapai hasrat kita. Kini kita berada di era globalisasi; satu fasa baru yang menuntut kemajuan, menuntut pemikiran yang rasional serta juga penyelesaian yang praktikal. Kita perlu melihat dan mendekati satu-satu masalah itu dari persepsi yang berbeza dan yang boleh memanfaatkan kita. Selagi kita tersekat dalam kepompong pemikiran yang kurang membangun, selagi itulah kita akan terus tertunda untuk terus melangkah jauh.

Oleh Nurhannah Irwan & Zahirah

Tags:

No Responses to “Isu Warna: Obsessi masyarakat Melayu dengan ilmu hitam”

  1. akudeta.com » Blog Archive » Kata Editor Says:

    [...] Obsessi masyarakat Melayu dengan ilmu hitam [...]

  2. ali Says:

    ilmu hitam ialah tidak digalakkan dalam islam. apa saranan anda untuk membangunkan masyarakat kita.

  3. ali Says:

    apakah saranan anda untuk membangunkan masyarakat melayu kita.

  4. akudeta Says:

    Hmm..saya kira kita tidak mempunyai satu formula yg tepat utk membangunkn masyarakt dalam sekelip mata. Namun begitu, pendidikan (formal dan agama) dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap ilmu hitam. Ini kerana, dgn ilmu, masyarakat dapat berfikir dengan rasional serta menilai dengan bijak amalan ilmu hitam sama ada ia lebih byk meberi kesan positif mahupun negatif.:)

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.