Petikan dari Tiga Warna Bertemu

Sejajar dengan tema Akudeta pada kali ini, iaitu Warna, saya ingin menampilkan karya-karya dari buku bertajuk Tiga Warna Bertemu, suatu antologi puisi penulis-penulis Singapura yang telah diselenggarakan oleh penulis yang tidak asing lagi iaitu Encik Suratman Markasan. Karya-karya ini, yang turut berbaur tema warna dimuatkan dalam ruangan Santai untuk edisi pada kali ini.

Oleh Adriyanni Amelyus

API oleh: Mohammed Latiff Mohammed (Berita Minggu, 2 Oktober 1977)

Berikanlah bayimu api

Jangan berikannya putihnya susu

Pucatnya nasi

Kerana jika kau berikannya nasi

Nanti mereka mencumbui tradisi

Tidak berani menghadapi reality

Seperti pesawat telinga

Menyampaikan berita

Dalam perjalanannya

Kepalsuan menjadi kebenaran

Kemungkaran menjadi kebaikan

Jadi berikanlah zuriatmu bara

Usah berikan mendakap cempaka

Biar-biarlah panasnya terasa

Baru mereka mengerti ertinya bangsa

CAHAYA oleh: Mohammed Latiff Mohammed (Berita Minggu, 20 Ogos 1970)

Cahaya

Jika benarlah

Kau ada

Datanglah tikam dada kami

Supaya menyala

Seperti kau menyinari

Pohon-pohon cemara

Dan mekarnya kelopak cempaka

Sebagaimana kau menyinari kabah

Wujudlah kamu bersama kami

Agar dengan kehadiranmu nanti

Bisa kami menangkap kalimah Bismillah

Lantas memeluk mukjizatnya Allahu Akbar

Lalu mencumbui nurnya Al-Fatihah

Kau adalah cahaya di atas cahaya

Wujudmu jingga warnanya

Bakarlah iman kami

Dengan lagu cinta

Lantas sinarilah

Wajah anak-anak kita

Dengan imbau tarimu

Yang setia

Cahaya

Jika benarlah kau ada

Lemparlah kami ke puncak pawana

Lalu menolak hakikat pancasona

Cahaya

Benarkah kau ada

Dalam nafas kami yang tiada

PUTIH oleh: Nor Yusman Abdul Majid (Jalan Hock Chye, Julai 1977)

Putih cumalah warna yang mengelirukan

Bukan juga sesuatu yang tetap lama bertahan

Kesementaraan masakini

Seumpama topeng yang sengaja direkakan

Buat kebohongan paling durjana

Esok bakal terpacak nesan kutukan

Terkhabar tentang timbunan keyakinan

Luntur dan tertimbus di kaki seorang insan

Hitam

Memang menjadi kebencian

Kerana coraknya yang menjijikkan perhatian

Siapapun takkan menumpahkan kasihan

(walau ada kesempatan)

Namun hitamnya tetap punya peribadi

Sukar dimiliki oleh manusia duniawi

DEDAUN oleh: A. Ghani Hamid (Berita Minggu, 22 Jun 1986)

Kalau gugurnya sepanjang waktu

Atau warnanya pudar tiba-tiba

Bukan kerana hujan tengah hari

Atau kemarau melanda kini

Tetapi, seekor serangga yang segar

Menggigit dan memamahnya

Kehijauannya menjadi lesu

Dan gugur sepanjang waktu

Tiada siapa bersapa

Bagai akhirnya sudah pasti

Atau dedaun yang gugur ke bumi

Kehabisan setiap pagi

Seekor serangga yang singgah

Telah mengunyahnya berkali-kali

Tentang Penulis

Fatimah