Bolehkah kadar kelahiran sentiasa meletup?

Oleh Adriyanni Amelyus

Singaporean Children

(Sumber: http://images.publicradio.org/content/2007/07/20/20070720_singapore_babies3049971_18.jpg)

Banyak perkara yang kerap ‘meletup’ kian hari. Kadar barangan perkakas rumah dan dapur, jumlah gantri ERP yang meledak bagai cendawan tumbuh selepas hujan di merata Singapura, kadar perceraian di kalangan pasangan Melayu/Islam, harga minyak, tambang menaiki teksi dan sebagainya.

Mungkin satu-satunya berita yang menyenangkan adalah kadar kelahiran bayi yang ‘meletup’ buat jangka waktu beberapa tahun ini. Namun, pokok persoalannya adalah, adakah perangkaan kelahiran bayi yang kian meningkat ini, serta diharapkan dapat mampu menjamin penakatan tanahair kita, terus berlaku memandangkan kos kehidupan seharian yang tidak menunjukkan sebarang tanda menurun?

Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa pihak pemerintah harus mengkaji semula sama ada kenaikan kos yang sedang berlaku akan membawa lebih banyak kemaslahatan ataupun sebaliknya. Barisan ketua negara tentunya sudah melakarkan visi mereka yang tersendiri dan bagaimana perkembangan yang berlaku dalam negeri akan menjamin kesejahteraan penduduk untuk beberapa dasawarsa yang mendatang.

Namun, implikasi jangka waktu pendeknya bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Dan, sudah pastinya, kelas tengah rakyat Singapura yang kerap dipanggil ‘sandwiched class’ merupakan para penduduk yang paling terhimpit ekoran fenomena kenaikan harga yang meledak ini.

Kenaikan harga ini hanya akan menyebabkan golongan yang belum berumahtangga untuk menangguhkan rancangan menaiki pelamin. Tentunya, kurangnya persiapan ekonomi tidak boleh diambil mudah. Perancangan kewangan yang sewajarnya merupakan salah satu kekunci sebuah keluarga bahagia.
Pantulan ini, adakah kenaikan harga dalam hampir semua aspek kehidupan merupakan suatu langkah wajar atau adakah ia merupakan penghambar rancangan pemerintah untuk terus memastikan peningkatan taraf kelahiran bayi di Singapura?

Saya berpendapat bahawa pelbagai program yang sudah diisytiharkan seperti flexi-work schemes tidak membantu meringankan beban ekonomi pada dasarnya. Bagi mereka yang berpendapatan rendah pula, bagaimana? Tentunya, insentif-insentif sebegini tidak wujud bagi mereka yang harus bekerja beberapa kali lebih ganda untuk menampung keperluan harian mereka dek pendapatan yang kecil.

Oleh itu, adakah ini bermakna bahawa negara Singapura akan bertukar menjadi sebuah negara cosmopolitan
yang hanya boleh didiami mereka yang kaya dan dari golongan ekspatriat sahaja?
Tepuklah dada, tanyakan selera.

Tentang Penulis

Nuramalina