Diari Kegiatan: Pasukan Silat NUS di ISC
Oleh Mohd Zuraimi bin Musa
Hangat. Riuh-rendah. Penuh bersemangat. Begitulah keadaan di dewan sukan Politeknik Republik sewaktu berlangsungnya Kejohanan Silat Undangan (ISC) 2008. Pada tahun ini, Politeknik Republik menjadi tuan rumah bagi kejohanan tahunan tersebut.
Sebanyak sepuluh institusi mengambil bahagian di mana setiap institusi menunjukkan prestasi yang cukup gah, baik untuk kategori seni mahupun olahraga. Dewan sukan menjadi medan saingan sengit tatkala setiap pesilat bertungkus lumus untuk menggenggam gelaran juara.
Seperti tahun-tahun sudah, terdapat beberapa muka-muka baru dalam kejohanan ini. Antara yang terlibat ialah pelajar-pelajar tahun pertama Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Sungguhpun mereka kurang berpengalaman, itu tidak bermaksud mereka tidak mempamerkan persembahan yang membanggakan. Berpaksikan iltizam dan semangat yang cekal, mereka beraksi di gelanggang sambil disorak oleh para penyokong.
Menurut Muhd Yusri bin Muhd Supiyan, pelajar tahun pertama NUS dalam jurusan Sains Politik, “Dengan menyertai kejohanan ini, saya meraih pengalaman yang cukup berharga kerana ini merupakan kali pertama. Meskipun saya tidak berjaya, saya tidak berputus asa. Kekalahan tidak menumpulkan kecekalan saya untuk cuba sekali lagi pada tahun mendatang. ”
Bagi Farah Natasya bte Rosli pula, pelajar tahun pertama NUS jurusan kimia, beliau menyatakan kegembiraannya meraih tempat ketiga bagi kategori seni ganda srikandi. “Saya amat bersyukur walaupun ia hanya tempat ketiga. Permulaan yang menggembirakan ini membakar semangat saya untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan persembahan dan memperbaiki kelemahan yang ada.”
Begitulah pengalaman yang dikongsi oleh peserta-peserta yang pertama kali mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan silat yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Silat Peringkat Tinggi, Rangkaian Silat Sekolah-sekolah dan Politeknik Republik.
Gelaran juara bagi kejohanan tahun ini dirangkul oleh pasukan dari Politeknik Ngee Ann. Bagi tahun hadapan, Universiti Teknologi Nanyang akan menjadi tuan rumah. Siapa yang bakal dijulang menjadi juara? Sama-sama kita nantikan!
Penulis merupakan pelajar tahun pertama Universiti Kebangsaan Singapura, jurusan Sosiologi.






