oleh Ridhwan bin Mohd Basor
Anwar pula pada masa yang sama, sangat lantang mengkritik kepimpinan Pak Lah dan menyelar langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi minyak. Malangnya, kritikan Anwar yang bertubi-tubi itu lebih dianggap menonjol berbanding dengan usaha untuk memantapkan Pakatan Rakyat serta kepimpinan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka. Secara tidak langsung, Anwar seperti kuman seberang tebing nampak, gajah depan mata tidak nampak. Memandangkan Pakatan Rakyat adalah sesuatu jalinan politik yang baru termenterai, tentunya terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan supaya ia kelihatan lebih mantap serta permuafakatan antara parti benar-benar dapat terjalin, agar semangat bersatu teguh, bercerai roboh dapat direalisasikan

Sumber: http://thesonofmrskarma.kaisetsu.org/images/AnwarIbrahim.jpg
Belum selesai tsunami politik melanda Malaysia, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan badai taufan tuduh-menuduh antara Anwar dan Najib Tun Razak. Sekali lagi, Anwar dituduh melakukan hubungan homoseksual dengan meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan. Tuduhan liwat yang dibuat oleh Saiful Bukhari bak dejavu, di mana tuduhan yang sama inilah telah dijadikan hujah oleh Tun Mahathir untuk memecat Anwar suatu ketika dahulu. Seperti yang berlaku pada 1998, Anwar menuduh perkara ini sebagai satu konspirasi politik untuk menjatuhkan kerjaya politiknya. Tuduhan sebegini tidaklah sukar untuk dipercayai lebih-lebih lagi dengan terdedahnya gambar-gambar Saiful Bukhari Azlan dengan beberapa tokoh UMNO. Ini termasuk pengakuan Datuk Seri Najib sendiri yang mengatakan beliau pernah bertemu dengan Saiful Bukhari Azlan sebelum pihak polis membuat sebarang laporan terhadap Anwar. Malahan, satu kenyataan daripada pejabat Datuk Seri Najib mengatakan bahawa kehadiran Saiful Bukhari Azlan ke sana adalah di atas urusan biasiswa, dilihat sebagai satu alasan yang sangat tidak masuk akal – sejak bilakah Pejabat Timbalan Perdana Menteri menguruskan biasiswa? Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai dalang di sebalik tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim.
Pada masa yang sama, Datuk Seri Najib pula diserang dengan tuduhan melakukan hubungan intim dengan seorang peragawati Mongolia, Altantuya Sharibu yang telah mati dibunuh. Pengakuan bersumpah yang telah dibuat oleh P.Subramaniam, penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Baginda sekaligus mengejutkan Malaysia. Namun begitu, penarikkan balik pengakuan bersumpah sehari setelah ia dibuat, mengundang seribu tanda tanya. Pelbagi teori konspirasi terbit berikutan dengan drama politik Malaysia yang belum berkesudahan ini. Ada yang berpendapat bahawa dengan tercemarnya kesahsian Datuk Seri Najib, peluang untuk beliau menjadi Perdana Menteri semakin tipis dan hanya akan menguntungkan pihak selain Anwar yang enggan melihat beliau menaiki takhta kerajaan. Malahan, Tun Mahathir akur serta mempercayai bahawa kredibiliti Datuk Seri Najib telah banyak merosot .
Sudah tentu, kes yang membabitkan Datuk Seri Najib telah mengheretnya sebagai salah satu lagi watak utama dalam drama yang dibintangi oleh Datuk Seri Abdullah, Datuk Seri Anwar dan Tun Mahathir di atas pentas politik Malaysia yang kian bergelora. Episodnya yang tidak berkesudahan, hanya akan merugikan rakyat Malaysia, khususnya dengan pertumbuhan iktisad yang semakin menurun ekoran situasi politik yang kian tidak menentu. Moga drama bersiri ini tidak berakhir ibarat gajah dengan gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah.



