INFLASI : satu letupan bagi mahasiswa?

Oleh Nur Zahira Bte Mohamed Ali
Mungkin jarang kita dengar Singapura digegarkan dengan bencana alam seperti gempa bumi, taufan dan tsunami. Dengan tahap kawalan yang ketat di Singapura, rancangan para pengganas, ,pengebom nekad serta pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab agak kurang ‘menjadi’ di sini. Oleh itu, isu ‘meletup’, ‘letupan , ‘diletupkan’ hampir tidak relevan dengan negara kita. Namun begitu, rakyat Singapura sekarang seolah-olah sedang terkapai-kapai dengan kos kehidupan hari ini. Isu inflasi boleh dikatakan telah memberi ‘letupan’ yang hebat terhadap warga singapura lebih lebih lagi terhadap golongan yang berpendapatan rendah. Ini kerana, inflasi datang secara tidak disangka-sangka dan negara semaju Singapura turut sama merasakan bahangnya.
Oleh kerana, harga minyak dunia telah meningkat hampir 50 peratus tahun ini, ia memberi satu tamparan yang hebat terhadap para pengguna. Perkara tersebut turut disepakati oleh para pemimpin kumpulan lapan kuasa ekonomi dunia (G8) dalam Sidangnya di Jepun baru-baru ini, mereka menyatakan bahawa kenaikan harga minyak dan makanan adalah satu cabaran serius bagi pertumbuhan ekonomi sedunia. Keadaan menjadi lebih buruk lagi di Singapura, di mana harga minyak meningkat seiring dengan kenaikan harga beras, bil elektrik, tambahan gantri ERP serta yang terkini tambahan tiga puluh sen bagi teksi Comfort dan Citycab. Yang membimbangkan ramai pengguna, gaji pendapatan pekerja masih lagi berada di takuk yang lama. Malah, belum lagi kita inisiatif yang bakal diambil bagi menanggung kadar inflasi yang menjulang tinggi. Sejak Jun 2003, kadar ekonomi di Singapura dilaporkan tumbuh pada kadar yang paling perlahan dalam masa lima tahun bagi suku kedua tahun ini. (Berita Harian, 2008) Semestinya, perkara ini sangat meruncingkan. Disebalik segala fenomena ini,bukankah inflasi dianggap sebagai satu ‘letupan’ kocek bagi warga setempat?
Yang menariknya, golongan mahasiswa turut sama merasakan bahang letupan inflasi dan ada di antara mereka sanggup berusaha mengurangkan beban inflasi dengan bekerja sambilan mahupun mengurangkan perbelanjaan seharian. Namun begitu, segelintir mahasiswa masih lagi mengambil sikap kurang prihatin mengenai masalah ini kerana mereka merupakan golongan yang kurang terjejas berbanding dengan golongan pekerja dan warga mapan. Tambahan pula, daripada maklum balas yang kami terima,segelintir daripada golongan pelajar mahupun mahasiswa mempunyai wang ‘sendiri’ dan mereka masih lagi menerima jumlah wang saku yang sama tanpa sebarang potongan daripada ibu bapa. Lantaran itu, bahan letupan inflasi agak reda di kalangan para mahasiswa berbanding dengan golongan pekerja.
Pada hemat penulis, bahang letupan inflasi tidak ada bezanya di kalangan mahasiswa mahupun tidak.Contohnya jika dahulu bayaran teksi ke kampus NUS menelan belanja sebanyak S$13 dolar dari Bedok, tetapi hari ini ia boleh mencecah sehingga S$20, lebih- lebih lagi pada waktu sibuk.Oleh yang sedemikian, sikap acuh tidak acuh di kalangan para mahasiswa terhadap isu inflasi wajar dikikis bagi kebaikan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi setempat. Dengan inflasi, ini bererti wang yang kita perolehi hanya dapat membeli sesuatu barang pada kadar peratusan yang lebih kecil atau dalam istilah lain, kuasa pembelian (buying power) akan berkurangan.
Wang sebanyak lima puluh dolar mungkin hanya dapat membeli satu barang sahaja berbanding pada tahun-tahun sebelumnya. Dalam jangka masa yang panjang, walaupun kita mempunyai simpanan wang yang mencukupi, namun ia tidak akan memberi sebarang jaminan kerana mungkin wang tersebut akan berkurangan dan hilang nilainya disebabkan oleh inflasi yang mencengkam dunia. Justeru itu, inflasi satu letupan mahupun tidak? Andalah yang menentukannya
Tags: inflasi





July 29th, 2008 at 12:54 pm
[...] Inflasi, satu letupan bagi mahasiswa? [...]