NTU/NIE Perbayu mempersembahkan ‘Khilaf’
Sinopsis
Peperangan mendatangkan banyak kesusahan, baik di Singapura atau di mana-mana. Ramai terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dalam percubaan untuk membina kembali kehidupan mereka pada zaman selepas peperangan. Namun, bagaikan jatuh ditimpa tangga, kebanyakan diantara mereka terutamanya di kalangan masyarakat Melayu, tidak mempunyai pendidikan sekolah yang sempurna. Justeru, ia menyukarkan lagi usaha mereka untuk mencari pekerjaan yang mampu menghasilkan kewangan yang memuaskan bagi menjamin kehidupan yang sempurna. Dengan itu, maka tercetusnya inspirasi untuk NTUMLCS (Perbayu) dan syarikat Thumbprint Production mengadakan mempersembahkan Khilaf.
Jalan cerita Khilaf berpusat kepada 3 gadis; Hasnah, Rokiah dan Ramlah yang mendambakan masa depan yang cerah. Selain daripada kehidupan yang susah, masyarakat juga terpaksa berhadapan dengan perbezaan ideologi di antara PAP dan UMNO. Keadaan rumit itu memaksa ketiga-tiga gadis tersebut untuk memilih jalan hidup yang dianggap sesuai dengan harapan mereka untuk meraih masa depan yang cerah.
Khilaf diarahkan oleh Mokthar Hashim atau lebih dikenali sebagai Keatar HM dan Reduan Yahaya. Ia merupakan sumber inspirasi dari novel-novel terkenal Salina dan Lantai T.Pinkie yang ditulis oleh A.Samad Said.
Penonton akan diajak untuk menyelami zaman nostalgia, disamping mengenali sejarah dan budaya. Apa yang menjadi lebih genting lagi ialah penonton diharap akan lebih memahami akan pentingnya mengambil keputusan yang wajar dan bijaksana agar seseorang itu tidak menyesal di hari muka.





