Malam Cinta Pertama

Di dalam edisi ini, Sastera Siswa ingin memberikan pendekatan baru. Selain mengetengahkan puisi- puisi karya para siswazah NUS, ruang ini juga akan memperkenalkan para sasterawan yang telah banyak menyumbang kepada dunia persuratan.

Puisi pertama merupakan ilham pengelola ruang ini sendiri; suatu lagi karya berbentuk renungan sempena bulan Ramadhan yang telah berlalu.

oleh Siti Aishah Kusairi

bagaimana harus ku bertemu
wahai kekasih
sedang aku hanya bermain cinta
mengisi seluruh zaman hidupku
menyimbah luka tidak setia
membiarkan mawar titipanmu semakin pudar
mengimpikan nostalgia hanya di pelamin dunia…

bila kita bakal bertemu
ya, kekasih
di naungan bayu malam para malaikat
dan kita berenungan
dan aku mengukir madah cinta
dan aku mentasbihkan nazam rindu
dan kau menerima pinanganku….

bagaimana harus ku bertemu lagi
Wahai Kekasih
Wahai Sang Pencipta Cinta
Jika malam Ramadhan Kau bawa pergi….

Sekilas tentang…
Anak Seni Abdul Ghani Hamid

Abdul Ghani Hamid merupakan seorang anak seni yang amat prolifik yang telah banyak menghasilkan karya- karya bermutu yang merentas zaman. Beliau juga merupakan seorang pengkritik seni lukis yang penting di Singapura. Beliau juga telah menerima banyak pengiktirafan bagi sumbangan beliau di persada penulisan termasuk SEA Write Award, Anugerah Tun Sri Lanang dan Culture Medallion bagi pengkaryaan beliau.

Karya Abdul Ghani Hamid yang akan ditampilkan di dalam edisi ini merupakan pedoman bagi para penuntut seperti kami sedang kami mengorak langkah ke alam berbeza iaitu alam kedewasaan. Renungilah dan dalamilah nasihat serta mesej yang ingin disampaikan oleh penulis unggul ini.

Kedewasaan
Oleh Abdul Ghani Hamid

Kedewasaan berkembang berterusan
zaman ke zaman pasti berganti
warna dan sinar tak menentu
tapi keyakinan ketika bermula
kuturut taburkan kelopak- kelopak mewangi
dan doa mengiringi insan kamil.

Nanti apabila tercapai kejayaan
pastikan ruang benak dan bicara
tidak kekosongan dan tidak kekeringan
dan catatkan budaya padi yang bernacin
kian tunduk ketika bertambah isinya
menjadikan kekamilan yang lebih bererti.

Kedewasaan bukan kepada lenggang dan wajah ke langit
bukan nilai lahiriah penentu segala
walau kerohanian bukan neraca keakuan
kedewasaan adalah ukuran nilai
khidmat serta bakti yang paling murni
melindungi kepercayaan- Nya,
dan kerana- Nya kau lakukan

Kedewasaan buatku insan kerdil
nilainya tiada penghujung.

26 September 1999

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.