Bingkisan Buat Remaja Budiman

oleh Farah Nadia Jamalludin

Semalam ngiang mengejek
Tewas kau diragut deruan silam
Jeritan kau lolongan sepi
Suara kau hanya bisik sendiri

Andai tersadai antara ribut dan badai
Berkubulah engkau, jangan tergadai

Andai dijebak marah dan sebak
Biar insaf titis di kelopak

Andai diajak nodaan lalu
Biarlah engkau berpaling malu

Andai kau dilimpahkan sayang
Curah sedikit pada yang malang

Biar langkisau menerpa ke pipi
Jangan kau biarkan menusuk ke hati
Kerna di situ letaknya semangat
Maraknya mengalirkan keringat

Bingkaslah kau dari suratan
Sungguhpun ianya suatu pilihan
Untuk dilepas selingkar lalu
Inilah bingkisan warisan untukmu:

engkau berhak mengemudi hidup sendiri
engkau layak mengemudi hidup sendiri
engkau mampu mengemudi hidup sendiri
Walaupun ombak beralun menggarang
Ribut menggoncang tersangat berang
Kau berdaya mengubah haluan
Cekal dan usaha hendak kau dulukan
Agar takuk silam menjadi kenangan
Nafas baru kau kecap, membawa kebanggaan.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.