Oleh Siti Nur Ida
Sudahkah anda menonton filem Twilight? Kalau belum, saya syorkan anda untuk menonton filem aksi ini. Filem cinta antara dua dunia ini merupakan adaptasi daripada sebuah novel bersiri karya Stephanie Meyer. Filem yang diuar-uarkan menjadi pengganti filem bersiri Harry Potter telah menjadi kegilaan remaja kini.
Twilight mengisahkan tentang Bella, seorang remaja yang baharu sahaja berpindah ke bandar kecil Forks di Washington selepas ibunya berkahwin lagi. Bella kemudian mengenali seorang jejaka bernama Edward Cullen yang bijak dan lucu. Dengan tidak disedari, Bella telah jatuh cinta dengan Edward yang sebenarnya merupakan langsuir. Bella maklum akan hal itu selepas membuat kajian, tetapi dia tetap mahu bersama Edward walaupun beliau tahu perjalanan mereka akan sukar. Bagi Edward, Bella merupakan seorang teman sejiwa yang dinanti-nantikan selama 90 tahun. Tetapi semakin dekat perhubungan mereka, semakin sukar bagi Edward untuk menentang tarikan Bella yang membuatnya dalam kekalutan.
Filem ini sejajar dengan tema akudeta edisi Januari ini. Filem ini mengupas beberapa perubahan yang dialami watak-wataknya. Perubahan yang dikupas dalam filem Twilight bersangkutan antara satu sama lain dan ini yang membuat filem Twilight menarik.
Perubahan yang pertama adalah perubahan dari segi kebiasaan langsuir yang selalunya mempunyai taring dan meminum darah manusia. Bezanya, keluarga Edward tidak mempunyai ciri-ciri itu. Kendatipun begitu, mereka mempunyai aura mistik yang membuatkan orang lain mengambil sikap berwaspada dan berhati-hati terhadap mereka. Sebagai pola, di sekolah, Edward dan rakan-rakan sejenisnya duduk berasingan dengan penuntun lain dan tidak bersosial dengan mereka. Rakan-rakan baru Bella telah memberi amaran kepadanya akan keluarga Collins yang tidak bercampur dengan orang lain kecuali sesama mereka sendiri.
Kedua, Bella telah terpaksa menyesuaikan dirinya dengan persekitaran yang baru. Walaupun Bella seorang budak baru di situ, beliau tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri kerana di sekolah, beliau diburu oleh rakan lelaki yang berniat untuk menjemputnya sebagai pasangan ke majlis dansa anjuran sekolahnya. Bella juga disenangi oleh rakan perempuannya.
Ketiga, perubahan dari segi imej Bella, iaitu beliau menjadi topik perbualan ramai apabila beliau dilihat berdampingan dengan Edward. Bella kelihatan bersahaja. Tetapi, adik perempuan Edward tidak berapa suka dengan Bella kerana perhubungan Edward dan Bella tentunya akan dihebohkan dan mungkin menghuru-harakan rahsia yang mereka pendam selama ini. Walaupun begitu, ahli keluarga Edward kelihatan cuba untuk menyesuaikan diri dengan mahu memasak untuk Bella apabila Bella berkunjung ke rumah dan juga mengajaknya bermain besbol.
Kesimpulannya, filem Twilight mencerminkan perubahan dari segi masa dan juga dalam diri watak tersebut.




