Oleh Maryam Anuar

Sumber: http://ilsatari.multiply.com/photos/album/20/Buih-Buih_Sabun_Bubbles_by_NUS_Ilsa_Tari
Kumpulan tarian Melayu Universiti Kebangsaan Singapura; NUS Ilsa Tari telah mempersembahkan ‘Buih-buih sabun: Patah tumbuh, hilang berganti’; sebuah pementasan teater yang cukup gah lagi menarik di Pusat Budaya Universiti( UCC) pada malam 31 Disember 2008. Pementasan tersebut bertemakan konsep ‘perubahan’ dan mengupaskan perihal falsafah kepimpinan dan kepentingan tradisi dan jati diri melalui cerita lagenda Hang Tuah, yang termasyur. Ia juga adalah gabungan lima siri tarian yang bertajuk ‘Cengkaman Tawarikh’, ‘Bisikan Bayangan’, ‘Menerawang’, ‘Langkah Berkiprah’ dan ‘Meniti Suaka’. Setiap satu siri tarian ini berjaya mempesonakan penonton dengan rentak tari dan alunan muzik indah yang cukup berbeza, sesuai dengan makna-makna tersirat yang hendak disampaikan.

Lelaman Ilsa Tari
Pementasan Teater tersebut cukup visual dan dinamik. Gabungan gerak tari dan alunan muzik tradisional dan kontemporari jelas menunjukkan bahawa perubahan adalah sesuatu yang pasti dan tidak boleh dielakkan justeru kita harus senantiasa bersedia menerimanya dan membuat penyesuaian. Buih-buih sabun yang ditiup pula mencerminkan hakikat perubahan yang stabil dan elastik tetapi tidak mampu bertahan lama tanpa sokongan. Buih-buih sabun yang terapung-apung juga menggambarkan hakikat masyarakat yang menyimpan seribu harapan untuk hari muka yang lebih baik setelah melalui proses perubahan.
Kemahiran para penari mengimbangi piring di atas kedua-dua tapak tangan mereka sambil membuat lenggokan pantas dan sukar juga diperlihatkan. Nada seperti gembira, sinis, lucu dan sedih juga ditimbulkan melalui pelbagai aksi tari dan bentuk muzik.
Pementasan berakhir dengan bunyi kuat piring kaca yang dipecahkan sebagai tanda pengorbanan yang harus dilakukan untuk memastikan berlakunya perubahan ke arah kemajuan dan kesejahteraan.
‘Buih-buih sabun: Patah tumbuh, hilang berganti’ ternyata telah mengangkat prestasi dan mutu tarian Melayu dengan tarian abstraknya yang penuh bermakna dan ia pastinya sesuatu yang membanggakan. Semoga seni tarian Melayu terus mekar dan menghasilkan lebih ramai individu yang cintakan dan hidupkan budaya bangsa pada abad kedua-puluh satu ini.




