Sekarang berkaraoke, dahulu apa ya?

Oleh Siti Nur Ida


‘Dulu lain, sekarang lain
dahulu bujang, sekarang dah kahwin”

Image and video hosting by TinyPic

Sumber: http://jteeters.com/Relocation.htm

Begitulah bunyinya lagu nyanyian S M Salim yang masih kedengaran di corong radio. Lagu itu sejajar benar dengan perubahan yang selalu dihadapi oleh manusia. Tidak kiralah, perubahan dari segi umur, pekerjaaan, tanggungjawab, ekonomi dan masa.

Di sini, saya ingin memberi sedikit pandangan tentang perubahan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat kita pada zaman dahulu dan sekarang.

Aktiviti malar segar yang masih dilakukan dari dahulu hingga sekarang ialah barbeku dan berpiknik di tepi pantai. Ini juga sering dianjurkan sesama keluarga. Kaum keluarga dapat bersantai, berhibur dan juga mengeratkan tali persaudaraan. Apa yang baik tentang aktiviti berpiknik adalah sikap tolong-menolong dan tidak mengira. Kaum ibu akan berbincang akan apa yang mahu dibawa mereka pada hari itu. Bagi kanak-kanak pula, mereka akan dapat bermain bersama dan yang lebih tua akan saling bantu-membantu dalam menjaga adik-adik yang lebih muda. Kaum bapa pula biasanya akan bertukar pendapat akan hal-ehwal semasa. Sebuah keluarga itu akan menjadi lebih erat kerana mereka akan saling bertolak-ansur dan cuba meluangkan masa bersama sanak-saudara.

Aktiviti berbarbeku dan berpiknik juga dianjurkan oleh rakan-rakan. Ia selalu diadakan pada pertengahan tahun sempena cuti dan juga akhir tahun sempena perpisahan. Aktiviti sebegini dapat mengeratkan persahabatan dan juga membenarkan mereka mengenali sesama sendiri di luar suasana sekolah.

Kini, aktiviti yang makin ketara ialah berkaraoke. Aktiviti ini bukan sahaja sering dilakukan sesama rakan-rakan, tetapi ia sudah diperuntukkan sebagai aktiviti keluarga. Terdapat banyak pusat-pusat karaoke yang ditubuhkan khas untuk keluarga seperti Cash Studio yang berpusat di Orchard dan Apollo Centre. Pada hemat saya, aktiviti karaoke ini dapat mengeratkan lagi tali silaturahim di antara keluarga. Tak kiralah suara sumbang, gelak ketawa pasti kedengaran.

Aktiviti lain seperti boling dan juga makan bersama-sama di restoran mewah merupakan sesuatu yang sudah lazim kini. Masyarakat kita mempunyai kelebihan untuk berbelanja dan beriadah bersama keluarga. Kalau dibandingkan dahulu, peluang ini amat sukar kerana bapa akan sibuk bekerja dan ibu akan sibuk berjualan. Anak-anak pula sibuk membantu ibu mereka di gerai, menjaga adik-adik di rumah dan menelaah pelajaran.

Lantas, teras aktiviti antara dahulu dan sekarang tidak begitu ketara, iaitu untuk memupuk semangat kekitaan di kalangan ahli keluarga. Sememangnya keluarga dan sahabat handai harus mengambil kesempatan ke atas aktiviti-aktiviti yang tersedia.Ini amat digalakkan untuk memupuk persefahaman dan mengelakkan persengketaan dan sekaligus, mengeratkan perhubungan.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.