Oleh Siti Aishah
Institusi yang dipandang megah di mata hampir setiap individu, di mata masyarakat, di mata negara dan juga di mata antarabangsa. Institusi ini yang menjadi kekata impian kanak- kanak cilik tatkala mereka melangkah ke alam persekolahan formal buat pertama kalinya. Institusi ini yang sering disebut di dalam doa hampir setiap ibu bapa untuk anak mereka. Institusi ini yang sering dibanggakan oleh para menteri negara apabila membuat sebarang ucapan di dalam mahupun di luar negara. Institusi ini juga yang diberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai salah satu yang terbaik di dunia. Begitu banyak bebanan yang diberikan kepada institusi ini, maka tidak hairanlah jika transisi bagi seorang pelajar ke institut ini dilalui dengan penuh debaran dan pasti tanda tanya. Insititusi yang dimaksudkan pastinya Universiti Kebangsaan Singapura(NUS).
Bagi seorang bekas pelajar di kolej pula, transisi ke universiti merupakan suatu pendedahan kepada sistem pembelajaran dan pengajaran, serta budaya yang mungkin amat berbeda. Salah satu daripada kejutan yang paling ketara di dalam sistem NUS ialah sistem pembidaan (‘bidding system’) bagi mendapatkan modul yang ingin diambil oleh para pelajar bagi semester itu. Sistem ini amat berbeda sekali dengan sistem di kolej- kolej tempatan yang menyediakan jadual yang tetap kepada para pelajarnya. Walaupun sistem pembidaan sering menjadi keluhan para mahasiswa NUS, namun sistem ini juga sebenarnya dapat membina personaliti para mahasiswa yang tidak akan gentar ataupun putus asa apabila menjalani kehidupan yang semestinya tidak menentu.
Selain daripada itu, apa yang amat menarik tentang budaya di NUS adalah peluang bagi para mahasiswa untuk memperluaskan rangkaian perhubungan dan persahabatan. Jika di kolej, selalunya rakan- rakan merupakan teman sekelas, kenalan menerusi aktiviti di luar darjah ataupun perkhemahan yang dianjurkan di sekolah, namun di NUS, rakan- rakan bukan sahaja teman yang dikenali sewaktu mengambil modul yang sama ataupun melalui perkhemahan yang diadakan di awal tahun, persahabatan juga boleh terbina melalui aktiviti- aktiviti yang dianjurkan sekolah sepanjang tahun. Membina rangkaian perhubungan di NUS boleh dilihat sebagai suatu yang menjadi kemestian agar kita dapat merujuk kepada kenalan – kenalan ini jika berhadapan dengan masalah pelajaran ataupun apabila berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan kerja di kemudian hari.
Dari sistem NUS kepada budaya NUS yang sudah semestinya berbeda, apa yang membina tembok pemisahan antara NUS dan kolej- kolej tempatan adalah adanya para profesor ataupun pendidik yang bertauliah. Apa yang membedakan kuliah- kuliah di kolej dan di NUS, adalah isu- isu yang dibentangkan yang bersifat antarabangsa dan oleh itu, seringkali membuka mata para mahasiswa kepada dunia yang nyata. Kuliah- kuliah ini juga merangsang para mahasiswa untuk menganalisa sesuatu isu dangan lebih mendalam dan terperinci. Para mahasiswa juga diberi peluang untuk berdebat tentang sesuatu isu melalui kelas bimbingan yang diadakan. Selain mengetengahkan pendirian peribadi tentang isu- isu tertentu, para mahasiswa juga diberi peluang menganalisa kembali polisi- polisi yang pernah dilaksanakan.
Perdebatan begini mampu untuk membina keyakinan para mahasiswa, bukan sahaja untuk mengetengahkan pendapat tetapi juga menjadikan ia sebagai kunci apabila berada di alam pekerjaan.
Walaupun banyak perbedaan yang perlu dilalui oleh bekas para pelajar kolej tempatan apabila melangkah ke universiti, namun ada sifat peribadi yang harus terus dikekalkan. Sifat rendah diri sentiasa harus diterapkan ke dalam diri, kerana peluang ke universiti tidak bermakna seseorang individu itu semakin bijak. Tiket ke universiti haruslah dipandang sebagai satu ujian untuk melihat sejauh mana kita menghargai ilmu Tuhan yang telah dianugerahkan kepada diri sendiri. Transisi ini penuh pengajaran dan keseronokan yang bererti,, transisi ini juga harus dijalani dengan penuh rasa rendah diri..





Salam semua.
Sungguh segar mekar apabila saya membaca tulisan Siti Aishah seperti diatas.
Kita begitu bertuah dengan sikap tulisan beliau itu yang hidup membina.
Pada saya, ia adalah satu pengalaman yang harus diketahui oleh pelajar-pelajar yang bakal ke pusat pengajian tinggi seperti NUS.Transisi yang beliau lalui hanya dapat memanfaatkan mereka yang berani menghargai anugerah Tuhan yang maha kuasa.
Syabas.
Wassalam.