Tanggapan bahawa ‘Melayu bukan ditakdirkan usahawan berjaya’ tepat?

daripada Mohd Azmil Mohd Alias

Image and video hosting by TinyPic

Sumber: Blog

Siapa kata orang Melayu tidak boleh berjaya?
Perniagaan orang Melayu tidak berjaya berbanding kaum lain di Singapura?
Ditakdirkan makan gaji selamanya?

Inilah persoalan-persoalan pembakar semangat bagi para mahasiswa kita apabila mereka berpeluang untuk menganjurkan satu acara berbentuk kemasyarakatan yang masih belum giat dijalankan badan-badan Melayu setempat khususnya bagi golongan remaja. Dengan adanya hasrat sedemikian rupa, inisiatif ini sekaligus menepis tanggapan negatif yang tidak bermakna dan berharap pemikiran dan daya tahan remaja Melayu Singapura dapat dibina.

Oleh itu, buat julung-julung kalinya, usahasama Sekretariat Kebajikan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) dan Persatuan Muslim dan Budaya Melayu Universiti Institut Pengurusan Singapura (UniSIM) telah menganjurkan Kem Usahawanan Muda (KUM) di perkarangan Auditorium Masjid Sultan pada 24 hingga 25hb Januari 2009. Perkhemahan yang bertujuan untuk memupuk semangat keusahawanan di antara remaja kita ini, ternyata berbaloi apabila lebih daripada dua puluh lima peserta dari Persatuan Ain dan Sekolah Perniagaan Jamiyah menunjukkan minat yang mendalam dan semangat yang berkobar-kobar sepanjang perkhemahan ini.

Pada mulanya, apabila ditanya terdapat peserta yang kelihatan tidak berani untuk menceburi bidang perniagaan dengan alasan yang kurang munasabah tetapi mereka sendiri berubah fikiran kemudiannya. Dengan bantuan pengaturcara dan pakar motivasi termasuk Abang Abu, perkhemahan ini mendedahkan mereka tentang aspek-aspek asas dalam menubuhkan perniagaan dan juga pengurusan wang. Kegiatan-kegiatan yang dijalankan begitu menarik perhatian peserta kerana mereka perlu melakarkan strategi-strategi yang berkesan untuk matlamat mereka, yakni menjual barangan mereka secara berkumpulan di SOUK@SULTAN pada 1hb Februari 2009. Ini merupakan sebuah bazaar khas di perkarangan yang sama untuk memberi kesempatan bagi mereka menunjukkan kemahiran yang diperolehi semasa perkhemahan yang dilalui mereka seminggu sebelumnya.

Di antara kegiatan yang menarik ialah lawatan ke Pusat Membeli-belah Mustafa di mana setiap kumpulan diberikan modal sebanyak seratus dolar sebagai wang permulaan perniagaan mereka itu. Mereka boleh mendapatkan mana-mana perkakas dan barangan yang diperlukan untuk perniagaan mereka itu. Sepanjang perkhemahan dan bazaar ini, jawatankuasa KUM telah memantau prestasi setiap kumpulan. Pelbagai hadiah telah dimemenangi oleh kumpulan yang menunjukkan kewibawaan dari sudut kreativiti, pengurusan wang, pemasaran, pengiklanan dan sebagainya.

Seorang peserta yang telah memenangi Peserta Terbaik KUM, Abdul Hanis dengan selambanya berkata, “ Banyak betul perkara yang perlu difikirkan sebelum adakan perniagaan. Walaupun bukan perkara senang, KUM memberi keyakinan diri bagi saya untuk menggabungkan kemahiran yang dipelajari dalam perkhemahan dan menggunakannya secara praktikal di bazaar SOUK@SULTAN”.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.