“Ada di antara kita yang masih melihat ke langit, mencari sebutir bintang yang bersembunyi…untuk sampai ke destinasi.” Walaupun berhadapan dengan masalah yang serumit mana sekalipun, namun setiap kali, kita perlu merenung diri untuk mencari aspirasi sendiri yang masih tersembunyi.
Oleh Siti Aishah Kusairi
Drama “1988…Segaris Sinar” adalah sebuah karya yang mengisahkan tentang perjalanan hidup 7 anak muda Faisal, Kamil, Mail, Didi,Getar, Fendi dan Zul yang sama- sama membesar di sebuah rumah tumpangan anak- anak yatim, Darul Banun.Dari kecil hinggalah dewasa, mereka bagaikan sebuah keluarga yang sering berkongsi masalah. Rentetan cerita mereka bagaikan menggambarkan realiti kehidupan sebenar dimana secara zahir kita mungkin tersenyum, namun setiap individu pasti dibelenggui masalah yang berbeda.
Namun, apa yang mampu untuk mengeluarkan seseorang itu daripada lingkaran permasalahan, ialah dengan adanya sokongan moral yang kuat. Beginilah yang digambarkan di dalam drama ini. Drama ini bukan sahaja mampu untuk mengwujudkan rasa ketidak selesaan yang ada di dalam kanak- kanak ini apabila mereka berjumpa buat kali pertama, tetapi yang ketara sekali ialah bagaimana Sanif Olek sebagai pengarah berjaya mengetengahkan aspirasi yang tesembunyi di sebalik kanak-kanak ini. Dengan menggunakan konsep “flashback”, pengarah dapat juga mendidik para penonton mengenai bagaimana hidup kanak-kanak yang berlatarkan keadaan yang tidak beribu bapa, masih mampu untuk mempunyai wawasan sendiri. Contohnya, jalan cerita Zul. Zul merupakan seseorang yang bijak di kalangan rakan- rakannya yang lain. Seperti teman- temannya juga, Zul dibelenggui kesedihan kerana tidak mempunyai ibu bapa di sisi. Namun, apa yang membuat watak Zul unik ialah kesungguhannya untuk selalu menang di dalam apa situasi sekalipun. Walaupun dia ada sifat yang terburu- buru untuk mencapai kejayaan, tetapi keyakinan yang ada dalam dirinya inilah yang menyebabkan beliau menjadi seorang guru yang berdedikasi.
Selain daripada itu, Sanif Olek juga berjaya untuk menunjukkan bagaimana cara pembesaran kanak- kanak di Darul Banun mampu untuk membentuk persepsi mereka tentang hidup dan juga berdasarkan persepsi ini, mereka membuat pemilihan yang rumit di masa dewasa. Contohnya, Didi. Sewaktu kecil, di a pernah membesar di bawah jagaan makciknya. Namun, jika wujudnya situasi yang membabitkan anak- anak saudaranya, beliau sering dipersalahkan dan dituduh sebagai punca masalah. Berdasarkan insiden ini, Didi membesar menjadi seseorang yang tidak gemar dengan kanak- kanak.
Bagi mereka yang masih belum menonton siri drama ini, nantikan siaran ulangannya di Suria kerana ia bukan sahaja mempunyai mesej yang boleh direnungi bersama tetapi ia juga menampilkan barisan pelakon yang handal seperti Rafaat Hamzah. Teknik penggambarannya juga jauh lebih unik daripada drama- drama Suria yang lain. Sama- samalah kita menyingkap kembali drama yang penuh aspirasi ini.




