Oleh Siti Aishah Kusairi
Salam hormat buat peminat setia AKU DETA….
AKU DETA bertemu lagi dengan tema yang semestinya lebih hebat….ASPIRASI…
Tema ini pastinya mengingatkan saya pada suatu filem yang ditayangkan pada dua tahun lalu iaitu CUCI. Di dalam filem ini, salah satu wataknya, Fairil (lakonan Afdlin Shauki), memberikan satu perumpaan berkaitan dengan kehidupan. Kehidupan, katanya, bagaikan dinding yang tinggi. Saya setuju benar dengan pendapatnya. Setiap insan melihat kehidupan sebagai satu perjalanan yang jauh yang pada mulanya tidak mungkin dapat dilalui dengan mudah. Apabila kita melihat dinding yang tinggi, ia bagaikan melihat kehidupan yang makan waktu yang lama, dipenuhi pula dengan segala macam pancaroba. Kita gerun dan takut melihat kehidupan yang tidak menentu. Kita mengeluh akan perlunya melaui kehidupan dengan usaha yang banyak.
Namun, pada dinding itu juga, ada sebuah pintu. Dan apakah yang memberi kami kekuatan untuk membuka pintu itu? Itulah namanya ASPIRASI. Berpaksikan aspirasi yang berkobar di dalam diri, kita membuka salah satu dinding pada pintu itu. Pintu itulah merupakan pintu peluang untuk kita melihat apa yang ada di sebalik dinding yang sebelah sana.
Justeru, AKU DETA membongkar aspirasi yang bersulam di di dalam kehidupan insan- insan yang berada di medan yang berbeza, di dalam sastera dan juga di pentas seni.
Selamat membaca dan semoga aspirasi anda semua tercapai.




