oleh Siti Nur Ida Mohamed Ali
Sudah menjadi perkara lazim bagi sekolah-sekolah mengadakan pementasan setiap tahun. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura tidak terkecuali. Mereka akan mengadakan sebuah pementasan bertajuk Qalbu pada 12 April ini. Nama Qalbu dipilih kerana ia bersesuaian dengan tema yang ingin kami utarakan iaitu cinta dan soal hati. Qalbu dalam bahasa Arab melambangkan cinta dan perasaan.
Qalbu mengisahkan riwayat seorang wanita muda yang merintih derita dalam kehidupan yang diselubungi noda dan nista. Akibat suatu kemalangan, dia didatangi bayangan masa silam yang menceritakan sejarah yang tidak diketahuinya. Jelmaan demi jelmaan membongkar rahsia sejarah tersebut dengan lebih mendalam. Berpaksikan tema cinta, soal hati, unsur-unsur mistik dan ketulusan cinta seorang ibu, wanita ini mengorak langkah dalam menempuh perjalanan mengimbas kembali zaman lampaunya.
“Pementasan Qalbu melalui beberapa tahap perbincangan sebelum ia dapat direalisasikan. Pada permulaannya, kami mempunyai agenda tempat, dana dan skrip yang harus diutamakan. Inilah kali pertama Suhailah iaitu penolong penyelaras projek, menulis skrip dengan dibantu oleh Azmil dan Zuraimi. Setelah perkara-perkara ini dapat ditangani, kami mula mencari tajaan dan seterusnya memikirkan tentang strategi untuk memasarkan and menguar-nguarkan (publicise) pementasan kami,”jelas Dannylah Mohamed Norahim yang merupakan penyelaras projek bagi pentas budaya tahun ini.
“Kami menghadapi beberapa kesulitan. Diantaranya, mencari dana dan tajaan bagi produksi Qalbu yang mempunyai kos yang tinggi. Jangka waktu yang diberi untuk mementaskan projek ini amat suntuk dan dengan itu, sudah pasti kami menghadapi kesukaran mencari pelakon-pelakon yang sesuai dan berdedikasi untuk memainkan watak-watak utama. Walau bagaimanapun, saya amat mengharapkan respons yang positif dan menggalakkan dari orang ramai terhadap pementasan kami. Sokongan anda amat kami utamakan,” kata akhir Danilah yang gemar bersukan di masa lapangnya.
Penonton akan didedahkan dengan kisah-kisah yang jarang dilihat berlaku di dalam masyarakat Melayu. Pementasan ini menjadi suatu wadah yang dapat membuka mata penonton tentang isu-isu yang tidak selalu diperbincangkan dalam masyarakat kita.
Qalbu akan dipentaskan di Teater Yayasan Lee (Lee Foundation Theater). Bagi sesiapa yang berminat menonton Qalbu, sila emel kepada pentasbudaya@gmail.com atau hubungi 96600377.




