oleh Siti Nur Ida Mohamed Ali
Apakah aspirasi saya? Aspirasi saya ialah untuk menjadi seorang yang berguna suatu hari nanti dan mencapai segala matlamat yang telah saya letakkan. Mungkin aspirasi saya kedengaran seperti aspirasi umum tetapi jika dilihat dengan teliti, aspirasi inilah yang paling sukar dicapai kerana banyak pengorbanan dan liku-liku yang dihadapi untuk meraih kedudukan sebegini. Ini dapat diselami dalam filem Slumdog Millionaire yang mendapat 12 pencalonan dalam Anugerah Oscars tahun ini.
Filem ini mengisahkan tentang Jamal Malik (Dev Patel), seorang anak yatim berusia 18 tahun, yang hidup di kawasan sesak di Mumbai. Filemnya berpusar pada permainan “Who wants to be a millionaire” versi India di mana beliau hanya perlu menjawab soalan terakhir untuk mendapat 20 juta rupees. Tetapi, apabila rancangan itu berhenti kerana sudah sampai masanya, beliau telah ditangkap oleh polis kerana dituduh menipu. Jamal cuba membuktikan yang dia tidak bersalah dengan memberitahu kisah hidupnya bersama ‘abangnya’ di kawasan sesak (slum). Setiap bab dalam hidupnya merupakan jawapan bagi setiap soalan yang dikemukakan di dalam permainan itu. Keesokan harinya, Jamal kembali untuk menjawab soalan terakhir itu di depan 60 juta penonton.
Apabila saya selesai menonton filem ini, saya terharu dengan babak-babak realiti yang dipaparkan. Malangnya, filem ini pernah dikritik kerana penggunaan ‘slumdog’ yang dikatakan telah menghina masyarakat di India dan juga tayangan babak-babak yang seperti sengaja digembar-gemburkan untuk tujuan komersial. Namun, saya berpendapat bahawa filem ini dapat mencelikkan mata seluruh dunia akan kepincangan yang dihadapi masyarakat di India.
Apa yang saya ambil iktibar daripada filem ini ialah kesungguhan Jamal mencari Latika (Freida Pinto) iaitu kekasihnya dan usahanya untuk menyedarkan ‘abangnya’ Salim (lakonan Madhur Mittal). Yang uniknya, dia mendapat jawapan bagi soalan yang diutarakan dengan mengingat kembali peristiwa-peristiwa yang dilaluinya sepanjang hidupnya. Masyarakat menjadi musykil terhadap keupayaannya untuk menjawab soalan- soalan dengan mudah padahal dia hidup dalam keadaan yang porak-peranda. Jamal yang sudah biasa hidup dalam keadaan sebegini, tidak membenarkan tanggapan stereotaip orang menggangu hidupnya. Beliau tidak mengendahkan kritikan dan cemuhan semua. Beliau memberi segala tumpuan menjejak Latika dan Salim yang terpisah sejak Salim menghalaunya keluar.
Beliau juga tidak mengendahkan soal wang yang dimenanginya kerana dia tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila juruacara mengumumkan bahawa jawapannya betul dan duitnya mampu untuk naik seganda. Ini adalah kerana penyertaan beliau di dalam permainan berpandukan harapan bahawa Latika akan menontonnya kerana Latika suka menonton permainan ini.
Filem yang mempunyai jalan cerita yang menyayat hati ini memperkenalkan kepada kita akan erti keperitan sebenar yang masih berlaku pada masa ini. Lantas, jika kita rasa ingin mengadu penat, lapar atau tidak berdaya, renung dan ingatilah filem ini. Jika kita rasa kita menghadapi kesulitan yang amat berat, ingatlah bahawa ada yang sedang bertarung dengan keperitan pada setiap nafas mereka.




