Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura(PBMUKS) akan menganjurkan sebuah perkelahan bahasa dan budaya pada 9- 11 Jun tahun ini.
Ia bertujuan untuk memupuk minat dan membina keyakinan diri para pelajar menengah bertutur dalam bahasa Melayu, mengasah bakat menulis dan mendedahkan mereka kepada aspek budaya Melayu.
Tema tahun ini adalah ‘Pentas Jenaka- Menyingkap Lagenda, Meneguhkan Paksi, Mengukir Bahasa.’ Konsep ini berdasarkan aliran terkini yang menitik beratkan penggunaan peralatan digital dan komputer.
Suasana santai perkelahan ini dipercayai sesuai untuk mengasah kebolehan pelajar menggunakan Bahasa Melayu dalam penuturan dan penulisan. Aktiviti-aktiviti yang akan diadakan dalam perkelahan ini termasuk penulisan yang harus digarap dari filem-filem lagenda P.Ramee ynag termasyur dan kemudian mengolah dan mengubah isu sosial yang terdapat dalam filem-filem tersebut kepada konteks masa kini.
Mereka juga harus mereka sebuah diari maya untuk memuat-turunkan skrip mereka ke dalam diari tersebut. Bengkel penulisan akan dikelolakan oleh Encik M Saffri A Manaf pada hari pertama.
Selain itu Encik Yusnor Ef telah dijemput sebagai salah seorang pengadil untuk pertandingan dan persembahan skit yang akan diadakan pada hari ketiga.
Jawatankuasa Perkampungan Bahasa dan Budaya 2009 mengucapkan salam sejahtera dan berharap perkhemahan ini dapat memberikan manfaat kepada para peserta.




