Ekonomi meleset. Kita bagai mana?

daripada Adriyanni Amelyus

Krisis ekonomi yang telah mencengkam seantero dunia baru-baru ini merupakan sebuah krisis yang amat pahit untuk ditempuhi. Sebagai sebuah Negara yang sering diuar-uarkan sebagai hanya satu titik merah di dada peta dunia, Singapura tidak terkecuali dari kesan buruk dek krisis yang melanda. Sedang rakyatnya terpaksa menyesuaikan diri agar tidak terus hanyut dibawa arus deras globalisasi yang banyak menggugat kestabilan pekerjaan dek kemasukan pekerja kos rendah dari Negara-negara kurang membangun, krisis ekonomi ini telah menggegar paksi ekonomi dari sudut pendapatan dan pekerjaan pada skala yang lebih dahsyat lagi.

Sumber:Bob Mc Carty

Tentunya, para individu kelas terbawah dan pertengahan bawah dari segi pendapatan bulanan (low-income and low-middle-income) merupakan yang paling terjejas teruk oleh ekonomi yang sangat suram. Bukan sahaja kadar kemahiran mereka senang ditukar ganti, malah kebanyakan daripada mereka berasal daripada keluarga yang hidup dengan hanya satu mata pencarian (single income household). Jika si bapa dibuang kerja, amatlah sukar baginya untuk terus menampung keperluan dan perbelanjaan seharian keluarganya, lebih-lebih lagi dengan ongkos seharian yang semakin meledak.

Sumber:East Asia forum

Mujur buat rakyat Singapura, pemerintah telah banyak membantu dalam melakarkan masa depan yang lebih cerah menerusi program-program untuk mempertingkatkan kemahiran diri yang ditawarkan menerusi program menyeluruh seperti WorkFare. Selain itu, pembayaran kredit GST yang ditentukan menerusi nilai aset rumah, juga telah secara tidak langsung, membantu melegakan ongkos seharian rakyat. Di samping itu, terdapat banyak lagi program yang disediakan sebagai saluran bantuan bagi mereka yang paling terjerat oleh krisis ini.

Namun, apa yang paling penting adalah iltizam dan kesungguhan seseorang individu itu untuk meneruskan kehidupannya dengan sebaik mungkin. Pemerintah dan badan-badan bantu diri hanya boleh menyediakan jala keselamatan buat sekian waktu sahaja; yang selanjutnya, adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus mengait dan memperkukuhkan sistem sokongan konkrit untuk kebaikan kita bersama.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.