Aspirasi Berbeza di Bumi Serupa

oleh Kamielah Khairollah

1324.
437.
110.
4000.

Bagi kami, apa yang tertera diatas hanyalah angka, tetapi bagi penduduk Gaza, angka-angka ini membawa makna yang mendalam.

1324 mangsa yang terkorban.
437 kanak-kanak dibawah umur 16 diragut nyawa.
110 wanita terbunuh.
4000 rumah binasa.

Mampukah kamu membayangkan jika salah satu kanak-kanak yang terkorban adalah adik kita sendiri yang sering menjadi teman permainan dan ruang untuk berkongsi masalah? Mampukah kamu menggambarkan jika salah satu wanita yang terbunuh adalah ibu kamu yang tercinta- insan yang selama ini menjadi sumber inspirasi dan penunggak segala harapan? Dan mampukah kamu melihat rumah yang selama ini menjadi tempat kamu sekeluarga bersatu hancur musnah di hadapan mata? Hanya dalam masa beberapa minggu sahaja, masa depan sudah kelihatan muram. Hampir semua kepunyaan kamu hilang.

Inilah realiti yang harus dihadapi mereka di Gaza. Sementara di Singapura kami sibuk bermain dan belajar, membina harapan untuk masa depan yang cerah, mereka di Gaza hanya ingin membina kembali kehidupan mereka.

Memang sukar untuk kami meletakkan diri dalam situasi mereka, tetapi, jikalau harapan kami yang telah hancur, kehidupan kami yang telah musnah disebabkan perbuatan pihak- pihak yang lebih berkuasa, apakah yang akan kami inginkan? Apakah yang akan menjadi aspirasi?

Jika dibandingkan dengan anak muda di Gaza, kami di Singapura memang tersangat beruntung. Kami mampu mempunyai aspirasi yang besar, hasrat yang berdasarkan jangka masa yang lama. Walau bagaimanapun, bagi anak muda di Gaza, aspirasi mereka lebih langsung, dan lebih tumpuan akan diberikan kepada masa sekarang dari masa hadapan.

Besar kemungkinan, mereka tidak akan beraspirasi untuk menjadi seorang peguam, atau untuk memiliki sebuah perniagaan yang besar. Besar kemungkinan, mereka tidak akan memikirkan tentang cara untuk mendapatkan ijazah yang bermartabat, atau cara untuk mendapatkan duit yang banyak agar persaraan akan lebih selesa.

Yang sungguh tertera, aspirasi pertama mereka yang di Gaza semestinya adalah untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa seterusnya. Dalam keadaan yang penuh dengan ketidakpastian, pemikiran semestinya akan lebih tertumpu pada jangka masa yang lebih singkat. Pelaksanaan genjatan senjata tidak begitu bererti kerana situasi yang tenang boleh berubah dengan begitu pantas.

Seterusnya, kehidupan yang telah musnah harus dibangkitkan semula. Penduduk Gaza harus membina semula kehidupan baru, harus mencari jalan untuk mencemerlangkan masa hadapan diri sendiri dan juga generasi yang akan datang.

Bukankah semua yang sedang menderita akibat keganasan inginkan keamanan? Merekalah yang akan menjadi pendukung utama keamanan sedunia. Makanya, aspirasi mereka sememangnya untuk mengecapi keamanan, terutamanya di tempat kediaman mereka.

Sememangnya, aspirasi bagi mereka di Gaza pastinya tidak akan serupa dengan aspirasi yang selalu diimpikan oleh kami yang tidak berada di dalam situasi mereka. Memang sukar untuk kami memahami aspirasi mereka, tetapi inilah realiti yang harus dihadapi. Walaupun yang memisahkan anak muda Singapura dan anak muda Gaza hanyalah jarak, perbezaan dari segi aspirasi ibaratkan dua dunia yang berbeza.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.