daripada Nurul Syazwani Ismail
Sekali lagi, studio filem animasi Pixar telah berjaya menghasilkan sebuah cereka animasi yang merentas batas usia. Filem ‘Up’ yang ditayangkan pawagam-pawagam di merata Singapura semenjak bulan Ogos lalu berkisar seorang warga emas berwajah muram, Carl Fredricksen. Para penonton dibawa bersama dalam pengembaraan unik yang Carl hadapi.
Di awal cerita, filem ‘Up’ memperkenalkan Carl yang pemalu orangnya sewaktu masih kanak-kanak. Carl turut bercita-cita besar untuk menjadi seorang pengembara berani seperti idolanya, Charles Muntz. Secara tidak sengaja, Carl telah bertemu dengan seorang budak perempuan bernama Ellie. Ellie yang penuh bertenaga dengan segera menjadi teman sepermainan Carl kerana turut meminati kembara-kembara Muntz. Masa berlalu sehingga akhirnya, Carl dan Ellie meningkat dewasa dan berkahwin. Sayangnya, Carl dan Ellie tidak mampu mempunyai anak. Sebagai pasangan yang selalu bersikap optimis, mereka bercadang agar wang lebihan mereka ditabungkan dalam satu balang khas dengan harapan bahawa ia dapat membiayai kembara mereka sendiri pada suatu hari nanti.
Walau bagaimanapun, banyak aral yang melintang dan wang tabungan khas tersebut berkali-kali terpaksa digunakan untuk kecemasan lain. Harapan Carl dan Ellie untuk mendirikan sebuah rumah dalam kembara mereka ke Amerika Selatan tidak kesampaian sehinggalah mereka lanjut usia dan Ellie pula meninggal dunia.
Apabila rumah yang dibina Carl bersama Ellie diancam pembangunan, Carl mendapat ilham untuk menerbangkan rumahnya ke Amerika Selatan. Ini demi memenuhi hasrat Ellie dari dahulu untuk membina sebuah rumah bersebelahan air terjun di Paradise Falls. Tanpa diketahui Carl, seorang pengakap Pengembara Hutan, Russell, telah terikut sama. Russell seorang kanak-kanak comel berjiwa besar berada di halaman rumah Carl saat Carl melepaskan ribuan belon-belon untuk menerbangkan rumahnya.
Penerbangan rumah Carl ke Paradise Falls menjadi titik permulaan sebuah pengembaraan yang penuh cabaran. Sebelum sempat tiba, rumah Carl telah hampir-hampir tersadai di tempat yang salah. Russell telah mengusulkan agar mereka mengikat tali penambat rumah tersebut ke badan mereka dan mengheret rumah yang terapung-apung itu ke tempat tuju asalnya.
Dalam perjalanan ke Paradise Falls, Russell bertemu seekor burung eksotik yang dinamakan Kevin, serta seekor anjing bernama Dug yang mampu berbicara menerusi kolar canggihnya. Keinginan Russell untuk menyimpan kedua-dua haiwan tersebut dibantah Carl. Usaha Carl untuk menghalau kedua-dua haiwan tersebut merupakan satu babak yang dapat menggelikan hati penonton.
Namun, musibah sekali lagi menimpa mereka. Melihat kesungguhan Russell untuk menyelamatkan Kevin daripada satu ancaman, hati Carl bak kerak nasi yang dibasahi air; lama-lama lembut juga. Cerita ini menuju ke klimaksnya dalam adegan-adegan yang padat dengan aksi tetapi tetap mencuit hati. Filem ‘Up’ disudahi dengan satu sorotan pemandangan yang mampu mengharukan penonton setelah bersama-sama Carl dalam kembara terunggul hidupnya.
Setelah menyaksikan filem ‘Up’, para penonton pastinya akan meninggalkan pawagam dengan semangat baru. Pengajaran serta amanat yang terselindung di dalam filem ini amat berharga bagi semua lapisan usia. Ternyata, impian dan harapan adalah kuasa yang mampu memberi semua orang semangat bukan sahaja untuk memulakan sebuah kembara, bahkan ia memberi kekuatan untuk meneruskan pengembaraan hidup; seperti yang dialami seorang warga emas bernama Carl Fredricksen.




