daripada Nur Haizum Abdul Razak
Bercakap tentang kehidupan di menara gading, memang banyak pengalaman bermakna yang boleh diraih oleh seorang pelajar. Bagi mahasiswa tahun pertama, pengalaman mereka baru sahaja bermula dengan mulanya penggal sekolah. Dalam menjejak langkah ke alam baru, terbitlah beberapa harapan untuk kehidupan di institusi ini. Mari Kita tinjau harapan yang dikongsi beberapa pelajar.
Apabila ditanya tentang harapan, jawapan yang sering diberikan adalah menyesuaikan diri secepat mungkin kepada budaya dan suasana di kampus. Ramai yang kata budaya di sini teramatlah berbeza dengan sekolah dahulu. Pelajar dianggap lebih matang dan bertanggunggjawab dan bekelakuan seperti orang dewasa, dan ada yang merasa agak gentar apabila baru melangkah masuk ke institusi ini.
Ada pula yang rasa dari segi akademik ia lebih mencabar. “Jadual masa saya amat padat, dan saya sudah merasakan tekanan dalam pembelajaran. Saya hanya berharap dapat mengatasi tekanan ini dan berjaya dari segi akademik,”ujar Siti Nurshahidah Osman, mahasiswa daripada fakulti sains. Beliau juga berkata bahawa sistem pembelajaran di sini juga amat berbeza, kerana ia lebih interaktif. “Dari sini kita belajar mengetengahkan pendapat, dan berfikir dengan lebih kritikal. Ia merangsang saya untuk menjadi lebih terbuka dan ekstrovert apabila saya menyertai perbincangan dalam kelas,” tambah beliau.
Selain itu, antara harapan yang dikongsi mahasiswa tahun pertama adalah meluaskan rangkaian persahabatan. “Melalui interaksi dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang, saya percaya pengalaman di menara gading akan menjadi lebih berwarna-warni dan bermakna,”kata Fathimatu Zuhara, seorang mahasiswa daripada fakulti kesusteraan dan sains kemasyarakatan. Menjalinkan persahabatan bukan sahaja dapat membantu kita untuk menyesuaikan diri dalam sekitaran baru, ia juga boleh memudahkan proses pembelajaran. Namun, sikap berdikari juga penting kerana ia adalah kunci mengharungi kehidupan di sini. Beliau juga berharap dapat meningkatkan diri dan keyakinan dengan melibatkan diri dengan acara-acara di kampus.
Impian untuk melangkah ke menara gading yang bertaraf antarabangsa tentunya sudah menjadi impian bagi semua mahasiswa tahun pertama. Namun, dalam meniti kehidupan baru ini terdapatlah pelbagai cabaran yang harus diharungi. Mengasmilasikan diri ke dalam sekitaran kampus perlukan usaha, masa, dan mungkin pertolongan, tidak kiralah dari maktab rendah, politeknik ataupun baru selesai perkhidmatan negara. Secara keseluruhan, mahasiswa baru mengongsi harapan agar kehidupan di menara gading dapat mempersiapkan diri mereka untuk alam pekerjaan serta membentuk mereka menjadi individu yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga terbuka, berkeyakinan, dinamik dan berdikari. Dengan sokongan rakan-rakan dan juga pertolongan daripada senior, moga-moga harapan setiap mahasiswa dapat tercapai.





