Iftar Muhibah cum Acara Kenal-Suai

daripada Kamielah Khairoullah

Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) telah menganjurkan acara ‘Iftar Muhibah cum Acara Kenal-Suai’ pada hari Rabu, 26 Ogos 2009. Pada tahun ini, dua acara yang selalunya diadakan pada berlainan hari telah digabungkan. Maklumlah, Ramadhan tahun ini bertembung dengan saat-saat awal sekolah bermula.

Sumber: Facebook

Acara ini bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara mahasiwa-mahasiswi di NUS, kerana sesungguhnya (menurut orang-orang dahulu), tali persaudaraan itu boleh diperkukuhkan di meja makan (makan bersama di lantai juga boleh ). Selain itu, ia juga merupakan kesempatan untuk jawatankuasa PBMUKS 2009/2010 memperkenalkan diri mereka dan mendedahkan aktiviti-aktiviti yang akan berada di bawah naungan PBMUKS.

Walaupun ramai yang harus menghadiri kuliah pada esok hari, sambutan bagi acara in amat mengharukan. Para mahasiswa dari tahun pertama hinggalah tahun keempat turut menghadiri acara ini.

Oleh kerana acaranya bermula kira-kira jam 6.30 petang, ramai yang tidak sabar berbuka puasa. Makanan yang telah disediakan di luar bilik amat menyelerakan, dan sebaik sahaja azan berkumandang, itulah tanda bagi kami untuk berpusu-pusu mendapatkan minuman.

Sesi iftar yang bermula selepas solat amat memuaskan. Maklumlah, setelah sehari berpuasa, makanan yang cukup enak dan suasana yang meriah boleh menaikkan selera sesiapapun. Di sesi iftar itu juga di mana ramai yang saling berkenalan, terutama sekali mahasiswa tahun pertama.

Setelah makan (dengan lahapnya), memang nikmat bagi kami untuk berehat di dalam bilik yang berhawa dingin sambil mengenal-suai jawatankuasa PBMUKS 2009/2010 dan mengetahui lebih lanjut tentang sekretariat PBMUKS dan akitiviti-aktiviti yang akan dilancarkan pada tahun ini.

Pada keseluruhannya, memang acara ini satu kejayaan bagi jawatankuasa PBMUKS yang baru. Ia memang merupakan satu acara yang boleh dibanggakan untuk memulakan tahun akademik yang beru ini.

Seperti yang dikatakan mahasiswa tahun pertama, Aisyah Abdul Khalim, “Ia peluang yang baik untuk merapatkan lagi silaturrahim masyarakat Melayu-Muslim di NUS dan pada masa yang sama, kami dapat lebih mengetahui misi & visi PBMUKS. Dari situ kami lebih bersemangat untuk memberi sokongan dan bekerjasama dengan PBMUKS”

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.