daripada Rabiatul A’dawiyah Abd Wahid
Saya berharap Ramadhan kali ini akan lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya.
Saya berharap tahun ini saya akan lebih kuat beribadat.
Saya berharap agar saya dapat menjual banyak kuih-muih dan hasilnya dapat saya gunakan untuk perbelanjaan Raya.
Demikianlah respons orang ramai jika ditanya akan harapan dan juga pengertian mereka akan bulan ramadhan ini.
Drama siri baharu Pinggiran Ramadan yang sedang ditayangkan di saluran Suria, amat sesuai bagi kupasan tema edisi kali ini. Pelbagai isu telah diolah dengan teliti menjadikan drama ini amat menarik dan mampu menggamit perasaan.
Pasangan tua di dalam drama ini inginkan satu perkara sahaja, iaitu anak-anak yang mereka kasihi dapat berbuka dan berterawih bersama-sama di rumah mereka. Mereka juga mahu meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dan cucu. Maklumlah pada usia senja begini, warga tua berasa kesepian kerana anak-anak dan cucu yang dianggap sebagai pengubat rindu telah pun mengikut haluan hidup masing-masing.
Disebabkan kesepian yang menggamit mereka, mereka mula menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak kecil yang tinggal di tingkat satu. Namun, hal ini dicemuh oleh anak-anak warga tua itu kerana mereka menganggap bahawa cucu-cucu itu hanya merumitkan masalah dan membawa beban. Mereka sememangnya tidak mengerti akan kesepian yang merundung ibu bapa mereka. Apa yang didambakan bukanlah wang ringgit tetapi kasih sayang dan perhatian. Jangkaan yang berbeza ini menimbulkan perselisihan faham yang berpanjangan.
Bukan itu sahaja, pasangan tua itu cuba menolong jiran mereka dan rela mengeluarkan modal agar jiran mereka boleh membuat kuih dan hasilnya dapat digunakan untuk persiapan Hari Raya.
Sekali lagi, hal ini tidak disukai oleh anak-anak mereka. Mereka berasa bahawa jiran mereka mengambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa mereka.
Ini menggambarkan sikap mereka yang suka mementingkan diri sendiri dan kurang peka akan kesusahan masyarakat. Justeru, mereka salahertikan bantuan yang dihulurkan oleh ibu bapa mereka.
Memang banyak pengajaran yang boleh kita raih daripada drama ini. Para pelakon juga dapat menyelami watak dan memberikan penghayatan yang terbaik. Minggu depan merupakan episod terakhir. Jangan lupa menonton ya!




