Projek Reben – Meningkatkan Kesedaran atau Sekadar Menunjukkan yang Kita Sedar?

daripada Nurul Fadiah Johari

Sejarah perkembangan projek reben

Kempen projek reben bukanlah sebuah fenomena baru. Walaupun sokongan padunya semakin berkembang semenjak tahun 1990an, projek ini sebenarnya telah bermula pada awal tahun 1970an apabila Penney Laingen, isteri seorang tebusan Iran, menggunakan reben sebagai sebuah lambang untuk meningkatkan kesedaran. Dia telah mengikat reben-reben kuning pada pokok-pokok untuk meluahkan keinginannya untuk kepulangan suaminya.

Sumber:Blogger

Namun penggunaan reben-reben yang berbagai warna hanya menerima sokongan yang amat popular pada tahun 1990an, apabila para aktivis AIDS memperkenalkan reben-reben merah sebagai lambang bagi perjuangan mereka dalam mengatasi penularan penyakit tersebut. Semasa majlis penyampaian anugerah Tony, pelakon Jeremy Irons telah memakai sebuah reben merah pada bajunya, dan ini terus menjadikan reben itu sebuah trend. Akhbar The New York Times telah menamakan tahun 1992 sebagai “Tahun Reben.” Semenjak penubuhan Projek Reben Merah bagi para pesakit AIDS, pelbagai jenis projek reben yang menggunakan warna-warna lain telah diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang unsur-unsur penderitaan lain (bukan sahaja penyakit). Hampir kesemua warna yang kita kenali telah digunakan sebagai lambang. Kebanyakan projek ini berpangkalan di Amerika Syarikat.

Trend pemakaian reben ini telah juga melanda Singapura, seperti Projek Reben Merah yang memperjuangkan nasib mangsa-mangsa AIDS, Projek Merah Jambu yang memperjuangkan nasib mangsa-mangsa barah payu dara dan Reben Kuning, sebuah inisiatif tempatan yang bertujuan untuk meraih sokongan kemasyarakatan untuk golongan bekas jenayah.

Maksud di sebalik tujuan projek-projek reben

Dalam bukunya “Ribbon Culture Charity, Compassion and Public Awareness,” ahli sosiologi Sarah Moore telah menjelaskan bahawa trend pemakaian reben bertujuan untuk mengungkapkan diri sebagai penuh dengan perasaan dan kejujuran. Reben itu dianggap sebagai simbol kesedaran diri dan sifat belas ihsan, menunjukkan tanggapan dan identiti masyarakat berkenaan dengan sifat ini. Ini jelas membayangkan “budaya keihsanan” yang telah diserap oleh masyarakat pascamoden semenjak hampir 20 tahun yang lalu.

Sumber: Pink Ribbon Project

Apabila berbincang tentang projek-projek reben ini, seringkali tujuan utama yang telah diuar-uarkan adalah untuk “meningkatkan kesedaran umum.” Walaupun konsep ini kelihatan mudah untuk difahami dan diterima masyarakat, apakah sebenarnya maksud disebalik tujuan ini? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan kesedaran? Adakah ia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan tentang pelbagai jenis penderitaan dalam masyarakat? Adakah ia bertujuan untuk membantu para mangsa?

Ternyatalah ketidakpastian tentang maksud konsep “meningkatkan kesedaran” sering menyebabkan usaha-usaha sedemikian kelihatan hanya pada tahap lahiriah sahaja. Maksudnya, pemakaian sebuah reben berwarna tidak semestinya bermakna bahawa seseorang itu benar-benar menyokong sesuatu gerakan itu. Sarah Moore telah merumuskan dalam kajiannya tentang para pemakai reben bahawa ia tidak memerlukan sebarang pengetahuan yang mendalam tentang sesebuah gerakan itu, mahupun penglibatan dan hubungan khusus dengan para mangsa. Pokoknya, apa yang diperlukan ialah sekadar untuk memakai sebuah reben sebagai tanda bahawa seseorang itu “mempunyai kesedaran dan rasa belas ihsan.” Ramai juga “penyokong” projek-projek reben telah menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk memperjuangkan kempen-kempen mereka secara formal, iaitu untuk benar-benar cuba mencari sumber-sumber masalah dasar dan mengatasinya. Justeru, dalam hal ini, reben-reben ini hanya menjadi alat untuk mengungkapkan diri, pendapat, dan perasaan seseorang individu itu.

Konsep “belas ihsan” sebagai sebuah trend dalam masyarakat sekarang

Dengan adanya peningkatan dalam jumlah kempen-kempen reben dewasa kini, kita dapat mempersoalkan tentang makna nilai-nilai kemanusiaan dalam konteks masyarakat marcapada ini. Kita dapat menyaksikan bagaimana nilai-nilai seperti keihsanan dan keprihatinan telah dimuatkan dengan nilai komersil. Ia seolah-olah menjadi sebuah trend fesyen untuk memakai reben merah jambu atau mengenakan pakaian berwarna itu sebagai tanda sokongan dan keihsanan. Dalam sebuah zaman yang mana masyarakat, terutama yang sudah membangun, mementingkan hak dan aspirasi individu, ungkapan diri (self-expression) justeru amat dialu-alukan. Ini justeru menyumbang kepada populariti projek-projek reben ini, terutama apabila mereka disokong oleh golongan selebriti ataupun jenama-jenama terkenal.

Meskipun keihsanan merupakan sebuah nilai yang amat murni, persepsi dan tanggapan masyarakat kini terhadapnya lebih menumpukan pada sejauh manakah seseorang individu itu mampu menunjukkan keihsanannya. Justeru, tanggapan tentang sifat belas ihsan telah diumpamakan seperti sebuah komoditi yang boleh ditetapkan harganya dan mengikuti permintaan musiman.

Ini bukanlah untuk menolak niat-niat dan usaha murni yang telah diterapkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Tentu sekali kesedaran itu merupakan jentera utama untuk menggerakkan perubahan. Namun, persoalannya adalah – adakah kempen-kempen ini sebenarnya untuk memperjuangkan nasib para mangsa atau bagi para penyokong (untuk menunjukkan keihsanan mereka di persada umum)?

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.