Surat Kepada Ayah

daripada Azran Abdul Rahman

dikupas oleh Diyana

Sumber: Blogspot

Ayahanda,
hari ini kuterima suratmu
gembiranya hati mendapat berita
keluarga kita sihat semua.

Syukur,
anakanda di sini
tidak kurang apa-apa
kawan-kawan banyak di asrama
semuanya baik-baik belaka.

Anakanda tidak akan lupa
semua nasihat dari ayahanda
kita memang bukan orang berada
hanya kaya budi bahasa
percayalah ayahanda
anakanda tidak akan lalai
pelajaran tetap anakanda utamakan.

Sekian dahulu kali ini
salam untuk ayahanda dan bonda
salam juga untuk adik-adik tercinta.

Selain perutusan dan pengajaran yang terang lagi nyata, sajak ini juga mengetengahkan niat si pelajar untuk tidak menghampakan ayahnya dengan berjanji untuk menjadikan pelajaran keutamaan. Seringkali apabila kita mendengar perkataan harapan, kemungkinan besar kita akan terbayangkan tentang harapan diri kita. Melalui sajak ini Azran Abdul Rahman ingin mengingatkan para pembaca bahawa orang di sekeliling kita juga mempunyai harapan terhadap kita, terutama sekali ibu bapa kita yang ingin melihat anaknya berjaya di dalam hidup. Sebagai seorang anak, seperti mana yang disyorkan penyajak, kita haruslah mengenang ibu bapa kita dan tidak menghampakan harapan mereka. Di dalam karya ini, si pelajar mejadi sandaran keluarganya yang kurang berkemampuan dari segi kewangan lantas harapan keluarganya sekaligus bertindak sebagai tuntutan tanggungjawab ke atas dirinya. Melalui sajak ini, kita dapat mempelajari bahawa harapan itu bukan sekadar sesuatu yang boleh dibiarkan di atas angin lalu tetapi harus dijadikan permulaan sesuatu usaha ke arah sesuatu, contohnya usaha mengeluarkan keluarga daripada lingkaran kemiskinan sebagaimana yang tersingkap di sebalik sajak ini.

Lantas, para pelajar haruslah bekerja keras untuk memenuhi harapan yang ingin dicapai. Dengan usaha dan sikap tidak kenal putus asa, harapan akan menjadi kenyataan. Insya’Allah.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.