Genggam bara api, biar sampai jadi arang

Genggam bara api, biar sampai jadi arang

Gelisah dan bermimpi,

Di angkasa berduri,
Tidak bisa berdiri,
Namun aku gagahi…..

Walaupun bait-bait di atas hanya merupakan salah satu rangkap sebuah lagu cinta popular penyanyi Liza Hanim yang bertajuk Gelisah Mimpi, ia menangkap perhatian saya kerana empat bait ini mengandungi erti yang mendalam bagi topik yang akan saya bicarakan. Setiap kali bulan-bulan Oktober, November dan Disember menjelang, pelajar-pelajar termasuk mahasiswa dan mahasiswi akan merungut dan berasa gelisah (ada kalanya sampai mimpi buruk!) kerana peperiksaan bakal diadakan. Seolah-olah sebagai selumbar bisa, ramai yang akan merasakan peperiksaan ini satu bebanan yang terpaksa mereka pikul. Namun, jika difikirkan, setiap manusia dijadikan untuk mempunyai fungsi dan tanggungjawab. Justeru, sudah semestinya bahawa peperiksaan itu merupakan tanggungjawab yang harus dilalui setiap pelajar dan ia seyogianya dilihat dari sudut yang berbeza. Apa yang pasti adalah bahawa setiap pelajar yang akan menduduki peperiksaan apa sekalipun mahu meraih keputusan yang cemerlang.

Image and video hosting by TinyPic

Sumber: Wordpress

Pencapaian yang baik sememangnya tidak mudah. Ia memerlukan usaha yang keras dan kadangkala pengorbanan. Pengorbanan di sini membawa maksud pengorbanan masa dan tenaga. Proses pembelajaran itu tidaklah semudah yang disangkakan. Tatkala apa yang diajar oleh pensyarah tidak dapat difahami, kita perlu mengulangkaji bahagian itu dan ini sendiri boleh memakan masa yang panjang. Hujung minggu dihabiskan untuk mengulangkaji semula pelajaran untuk mempersiapkan diri untuk peperiksaan kerana pada hari-hari biasa, kuliah dan kelas hanya tamat pada waktu yang lewat dan ia sudah pasti memenatkan. Masa yang seringkalinya dikhaskan untuk keluarga terpaksa digunakan untuk belajar. Bukankah ini suatu pengorbanan yang besar?

Namun, bak pepatah Inggeris; No Pain, No Gain. Bukan sahaja masa, banyak tenaga juga dihabiskan untuk belajar dan memperkasakan ilmu yang akan digunakan untuk menjawab soalan-soalan kertas peperiksaan. Bagi mereka yang berada di jurusan Kesusasteraan dan Sains Kemasyarakatan (FASS), banyak yang perlu dilakukan agar kesemua konsep dan bahan rujukan difahami dan dicerakinkan. Bagi yang lain, seperti mereka yang mengambil kursus berteraskan Sains dan Ilmu Hisab, banyak latihan perlu dilakukan agar tidak kekok apabila menduduki peperiksaan nanti sepertimana pepatah Melayu, Alah Bisa Tegal Biasa.

Image and video hosting by TinyPic

Sumber: Blogspot

Kejayaan semestinya yang mahu digapai semua mahasiswa. Lantas, di ambang peperiksaan ini, janganlah kita berpendapat bahawa ia merupakan satu bebanan tetapi ia merupakan tanggungjawab dan sebahagian daripada tugasan yang perlu dilakukan sebagai seorang penuntut. Walaupun laluan yang harus ditempuhi kadangkala penuh dengan ranjau dan duri, keazaman untuk berjaya dan sekaligus akan menjamin masa depan yang cerah membuat seseorang itu untuk terus gagahi kesemua liki-liku ini. Pandang ke hadapan dan tetapkan matlamat untuk sampai ke garisan penamat. Apabila kita memikirkan tentang apa yang mahu kita kecapi di akhir semua ini barulah kita akan tergerak untuk melakukan apa yang perlu dilakukan agar tercapai matlamat itu.

Tentang Penulis

hafizsalleh Berpegang teguh pada prinsip hidup 'Tanpa Usaha, Tiada Ganjarannya', Muhammad Hafiz Bin Salleh serupa seperti mahasiswa-mahasiswi lain yang dahagakan kejayaan. Walaupun keutamaannya tetap pelajaran, minatnya pada arena penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi tetap diteruskan. Minatnya terhadap bidang ini tercetus apabila karangan-karangan sekolahnya dijadikan bahan rujukan kepada pelajar-pelajar yang lain. Merasakan melalui penulisan dia mampu menghasilkan kesan kepada pembacanya, Hafiz selalu mencuba untuk terus memperbaiki gaya serta bahasa penulisannya agar dirinya mampu menulis dengan lebih baik setiap kali dia menulis artikel baru. Meskipun rakan-rakannya akui dengan keupayaan bahasa ibundanya dari segi penulisan ataupun lisan, Hafiz akur bahawa masih ada ruang yang banyak untuk memperkasakan dan menajamkan bakat yang dikurniakan ini supaya pembaca dapat menghargai segala isu-isu yang diketengahkan.