Haruskah kita meletakkan batasan bagi sesebuah pengorbanan? Persoalan inilahnya yang membelenggu minda saya apabila selesai menonton filem My Sister’s Keeper. Filem ini mengisahkan seorang anak perempuan, Kate, yang menghidap penyakit leukemia sejak kecil lagi. Ibu bapanya lantas melahirkan seorang lagi cahaya mata, Anna, melalui genetik engineering semata-mata untuk dijadikan ‘penyelamat’ kakaknya. Selama 13 tahun, Anna telah menjalani banyak pembedahan dan pemindahan darah untuk menyelamatkan kakaknya tetapi, tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau. Bolehkah ini dikatakan pengorbanan? Atau ia hanyalah ‘pengorbanan yang melampaui batas’?
Jika dilihat dengan teliti, tujuan ibu bapa Kate membuat keputusan sebegitu menunjukkan kasih sayang mereka yang mendalam terhadap anaknya, Kate yang. Namun, mereka gagal untuk memahami perasaan dan kemahuan Anna sebagai kanak-kanak biasa. Setelah Anna mendapat tahu tujuan sebenar dia dilahirkan, Anna amat kecewa dan bertegas untuk menghalang ibu bapanya daripada menyuruhnya mendermakan buah pinggangnya kepada Kate, walaupun Kate sedang bertarung nyawa.
Keputusan yang harus dibuat oleh Anna amat sukar kerana Anna sedang berhadapan dengan konflik dalaman iaitu sama ada untuk meneruskan pemindahan organ kepada kakanya agar nyawa kakaknya dapat diselamatkan, (seperti mana yang telah dilakukan Anna selama ini) ataupun tidak mengizinkan pemindahan organnya atas sebab dia juga mempunyai hak terhadap dirinya.
Jika situasi seperti ini terjadi kepada diri kita, apa yang akan kita lakukan? Korbankan hak diri untuk kebaikan orang lain atau tegakkan hak peribadi dan tidak mempedulikan keperluan orang lain, walaupun ini mungkin dilihat sebagai mementingkan diri sendiri?
Isu pengorbanan memanglah rumit. Kita berhadapan dengan dilema untuk mengorbankan sesuatu yang amat bermakna bagi diri kita untuk sesuatu yang lebih bermanfaat, sama ada kepada orang lain ataupun diri sendiri. Namun, setiap pengorbanan yang dilakukan haruslah realistik dan tidak membebankan seseorang itu. Pengorbanan juga harus dilakukan dengan persiapan minda yang cukup agar kita tahu apakah cabaran yang bakal ditempuhi.
Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada filem ini dah fikirkan sejenak jalan yang terbaik sekiranya berhadapan dengan situasi serupa ini. Mungkin isu yang dipaparkan dalam filem ini agak kontroversil tetapi tidak mustahil kita akan berhadapan dengan dilema seberat ini pada masa yang akan datang.





