Pengorbanan

Pengorbanan

Satu perkara mulia yang sering dikaitkan dengan seseorang yang telah melakukan suatu sumbangan yang amat besar. Yakni apabila seseorang meninggalkan sesuatu demi orang yang tercinta ataupun seseorang yang sanggup mengerahkan seluruh keringatnya untuk membantu mereka yang susah.

Image and video hosting by TinyPic

Sumber: Wordpress

Tatkala itu, kita alpa akan pengorbanan-pengorbanan yang kecil. Sebagai pola, seorang ibu membelikan anaknya boneka walaupun dia terpaksa melupakan niatnya untuk mendapatkan beg berjenama. Begitu juga, pengorbanan seorang teman yang menghulurkan nota 2 dolar kepada sahabat yang telah kehilangan beg duitnya.

Masih terngiang-ngiang di fikiran saya akan pengorbanan ayah saya yang nampaknya kecil tetapi amat bermakna. Beliau telah menyediakan roti john dan mengambil cuti demi untuk menghantar saya ke temuduga bagi kemasukan universiti. Ayah juga telah bernazar untuk berpuasa selama seminggu tanpa henti jika saya diterima. Ayah juga telah membeli epok-epok khas untuk saya kerana saya merengek meminta dimanjaai. Lucu bukan? Itulah pengorbanan ayah saya yang tercinta.

Image and video hosting by TinyPic

Sumber: Blogspot

Akudeta edisi November kembali dengan artikel-artikel dan karya-karya yang padat lagi menusuk di hati. Daripada pengorbanan Encik Mohd Anuar menempuhi dugaan dalam Cabaran Subaru Impreza kepada pengorbanan sang semut untuk koloninya, pasti edisi kali ini dapat mencuit hati anda dan membuat anda berfikir sejenak akan pengorbanan yang telah anda lakukan.

Bukan itu sahaja, lelaman kami telah diberi nafas baru dengan buah strawberi dijadikan lambang kesegaran dan juga kemudahan ‘search’ yang membolehkan anda mencari artikel-artikel atau karya-karya lama akudeta. Kami juga mempunyai ruangan terbaru iaitu Kuiz Akudeta! dan mereka yang menjawab dengan tepat akan berpeluang untuk mendapat wang tunai ataupun baucar makanan.

Tambahan lagi, jika anda mahu mengongsi sesebuah artikel, anda hanya perlu menekan “Kongsi di Facebook”. Anda juga berpeluang untuk memberi komen terus kepada sesebuah artikel di ruangan yang disediakan.

Sebelum mengakhiri nota editor ini, saya mewakili kumpulan penulis Akudeta.com ingin mengucapkan semoga maju jaya kepada para mahasiswa yang sedang sibuk membuat persiapan untuk peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi. Sehingga kita berjumpa lagi di edisi yang seterusnya. Wasalam.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.