Kelas Bawahan Melayu Singapura semakin berleluasa, apakah penyelesaiannya?
Masalah sosial dalam masyarakat Melayu sering mendapat perhatian media. Masalah-masalah ini dihubung-kaitkan dengan keluarga pincang, pendapatan rendah dan tahap pendidikan rendah. Baru-baru ini pula masalah kebobrokan masyarakat hangat diperkatakan. Ini menyusuli insiden tragik, pembunuhan Allahyarham Muhammad Nor Rashidy Rahmat atau ‘Edy’ pada November lalu.
“Menyusuli kejadian ini, Dr Yaakob Ibrahim, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarkat Islam, telah menyuarakan kebimbangannya terhadap kurangnya perhatian diberikan serta tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah kepincangan keluarga dalam masyarakat kita. Jika isu ini tidak disentuh sekarang, satu golongan kelas bawahan akan wujud,” kata Izzati Umar, penganjur forum PBMUKS-MSS yang bakal diadakan pada 29hb Januari 2010. Forum ini mengajak mahasiswa dari universiti-universiti setempat [NUS, NTU, SMU, SIM] untuk berkongsi pendapat dan bersama-sama mencari jalan huraian bagi masalah yang berat ini.
“Melalui forum ini, kami berharap siswa-siswi dapat menyuarakan pendapat mereka. Mungkin mereka dapat mencadangkan huraian bagi menangani isu sosial ini, supaya ia tidak berlarutan,” tambah Izzati Umar. Forum ini turut akan mengetengahkan persoalan golongan kelas bawahan. Seperti yang dapat diperhatikan, menyusuli kenyataan daripada Dr Yaakob Ibrahim, terdapat banyak keratan akhbar yang memaparkan masalah keluarga pincang. Masalah kepincangan keluarga turut kian dikaitkan dengan perkahwinan pada usia muda, dan ditakuti masalah ini akan berlarutan sehingga menjejas generasi akan datang. Di sinilah golongan kelas bawahan ditakuti akan berleluasa dan menyekat lagi usaha membangunkan masyarakat Melayu agar setanding dengan kaum-kaum yang lain. Oleh itu lingkaran musibah ini harus dihentikan.
Ada juga yang menggesa masyarakat agar lebih responsif terhadap masalah ini. Masalah berat seperti ini perlu rangka huraian yang menyeluruh serta usaha gigih daripada masyarakat kita sendiri. Menyusuli kebimbangan ini juga, Dr Maliki Osman mendedahkan inisiatif kerjasama badan-badan Melayu dan NUS dalam mengkaji dan mencari punca kepincangan dan bagaimana ia berlaku. Dalam menghadapi masalah ini kepakaran amat diperlukan supaya ia boleh ditangani dari pangkalnya. Justeru, sebagai mahasiswa, kita mampu menyumbang sedikit sebanyak kepada isu-isu sosial masyarakat, dan forum ini boleh dijadikan platform bagi kita mengetengahkan perspektif mahasiswa. Jika anda berminat untuk menyertai forum ini, sila rujuk ke poster yang disertakan.





