Apakah cara yang lebih baik untuk memulakan tahun baru daripada bersukan sambil bersama keluarga dan rakan-rakan? Inilah yang telah dilakukan sekitar 300 orang yang terdiri daripada anggota pihak Masjid Tentera, mahasiswa Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan anggota masyarakat di acara ‘Badan Sihat Minda Pun Sihat 2 (BSMPS2).
Acara ini telah dianjurkan oleh pihak Masjid Tentera dan NUS Muslim Society (NUSMS) buat julung kalinya pada 10hb Januari 2010 di Kelab Masyarakat West Coast (West Coast CC). Ia merupakan acara penutup bagi kegiatan-kegiatan keluarga yang telah dianjurkan Masjid Tentera bagi para penduduk di daerah Clementi dan West Coast.
Bermacam-macam kegiatan yang telah diadakan pada hari itu, antaranya sesi bersenam untuk semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk yang menetap berdekatan dengan West Coast CC, dan pertandingan bola sepak bagi kanak-kanak di bawah umur 14 tahun. ‘Challenge Trophy’ antara Masjid Tentera dan mahasiswa NUS, dimana kedua-dua pihak telah bersaing dalam beberapa acara sukan, dan ‘Family Telematch’ untuk keluarga-keluarga yang hadir, merupakan keemuncak acara.
Selain kegiatan bersukan, semua yang hadir di West Coast CC pada hari itu juga telah terhibur dengan persembahan dari Didi Cazli dan kumpulan dikir barat NUS. Gabungan bersama NUSMS bagi acara penutup ini merupakan satu usaha bagi kedua pihak untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara Masjid Tentera dan mahasiswa NUS.
Seperti yang dikatakan Ahmad Aizat Rahmat, Presiden NUSMS, “Sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat dan menyokong jiran kami. Jiran terdekat mahasiswa NUS adalah Masjid Tentera dan memang penting untuk kami bekerjasama agar pertalian menjadi semakin baik.”
Ketua acara dari pihak NUSMS, Nur Khairun Husaini, juga berkongsi pendapat. Baginya, acara BSMPS2 adalah satu permulaan bagi pihak Masjid Tentera dan mahasiswa NUS untuk bekerjasama dalam pelbagai acara lain.
Bukan sahaja pihak penganjur yang dapat merasakan pengeratan silaturrahim yang BSMPS2 telah kecapi, bahkan para mahasiswa NUS dan sukarelawan Masjid Tentera turut dapat mengenali satu sama lain.
Sebagai persambungan bagi BSMPS2, pihak Masjid Tentera telahpun mengadakan acara makan malam di Masjid Tentera pada 23hb Januari 2010. Dengan acara kecil-kecilan sebegini, memang sangat diharapkan agar pertalian diantara mahasiswa NUS dan Masjid Tentera akan semakin rapat, terutama memandangkan kami semua berjiran.





