Resolusi

 

Resolusi 1

Sumber: photo.net

Untuk mengubah dunia, kita harus terdahulu mengubah diri sendiri.

Mengenangkan tahun 2009 yang baru berakhir, dunia kini telah melangkah ke sebuah dekad baru. Bagi ramai insan, permulaan tahun merupakan saat penting di mana azam lama diperbaharui dan matlamat peribadi bagi tahun baru dilakarkan. Dalam melakarkan azam tahun baru, ramai yang pastinya penuh dengan semangat yang berkobar-kobar. Ada yang ingin memperbanyakkan senaman, ada yang ingin mendapatkan hobi baru dan ada pula yang berharapan dapat memantapkan ehwal kewangan. Namun sayangnya, apabila bulan silih berganti, tidak kurang pula golongan yang mula patah semangat sehingga azam tahun baru tinggal niat sahaja. Jika diperhatikan, apakah puncanya ada sesetengah pihak yang terus berjaya memenuhi matlamat mereka tahun demi tahun, sementara ada pula yang gagal?

Pelbagai faktor perlu diambil kira, antaranya keadaan sekeliling, tahap komitmen dan kemampuan diri. Jika seseorang menetapkan matlamat yang tinggi melangit sebagai azam tahun baru, di hujung tahun mereka akan mendapati diri mereka telah kecundang. Justeru, dalam melakarkan azam tahun baru, kita haruslah bersikap realistik. Ini tidak bermakna menetapkan matlamat yang terlalu mudah. Berbuat sedemikian sama seperti mengaku kalah sebelum mencuba. Mencabar diri sendiri untuk menjadi lebih baik memang perlu, tetapi hendaklah mengikut kemampuan diri.

Selain daripada diri sendiri, pakar-pakar motivasi selalu memperkatakan pentingnya keadaan sekeliling kita. Bagi memastikan azam tahun baru dicapai, kita boleh menetapkan matlamat yang sama dengan teman-teman atau ahli keluarga. Melalui cara ini, matlamat tersebut dapat dicapai bersama-sama. Jika perkara tersebut tidak dapat dilakukan, memberitahu orang-orang di sekeliling azam tahun baru juga dapat membantu. Jika kita berbuat sedemikian, sekurang-kurangnya orang yang ada disekeliling dapat menjadi pendorong dan penyokong ke arah kejayaan dalam apa jua yang dilakukan.

Resolusi 2

Sumber: photo.net

Apabila membuat azam tahun baru, ada yang melihat jangka masa setahun sebagai had masa lama untuk memenuhi azam tahun baru. Lantas, timbul sikap berlengah dan memperlambatkan kerja. Ini boleh menjadi satu masalah kerana sikap tersebut mungkin berlarutan sehingga akhir tahun. Seperti pilihan-pilihan yang dibuat sehari-harian, kita seharusnya cuba melatih diri agar membuat pilihan-pilihan yang tepat secara sedar lalu melaksanakannya. Sekiranya kita melengahkan langkah-langkah terhadap memenuhi sesuatu azam, lama-kelamaan kita akan terus menjadi malas dan secara tidak sedar, masa berlalu dan kita kerugian. Yang anehnya, apabila kita perlu membuat pilihan untuk perkara remeh-temeh dalam kehidupan sehari-harian, sebagai contoh, memilih bijirin apa yang ingin dimakan waktu sarapan, kita selalunya membuat pilihan dengan cepat dan terus melaksanakannya. Namun, dalam memenuhi azam yang dibuat dan tugasan-tugasan besar yang lain, ada yang berlengah-lengah. Jika sikap pantas dalam membuat pilihan dan melaksanakannya dapat dipupuk dalam diri, tidak mustahil sesebuah impian mahupun azam tahun baru, tidak dapat dicapai.

Justeru, bagi memastikan kesemua azam tahun baru dapat dijadikan realiti, rombak balik azam tersebut agar bersesuaian dengan diri, pastikan orang di sekeliling tahu akan azam tersebut lantas mendorong kita, dan pupuk dalam diri sikap pantas memilih lalu melaksanakan tugas. Semoga kita semua berjaya mencapai resolusi pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

Tentang Penulis

syazwani Bagi Syazwani, dirinya ibarat rekaan yang tidak mempunyai definisi tetapi seribu makna tersimpul pasti. Bukan seorang yang suka dibendung, dia percaya bahawa perubahan merupakan satu yang lazim. Senadi dengan cita, berdenyut kerana kehidupan, di dalam jiwanya, ada pelbagai harapan yang sentiasa berputik dan bercahaya. Di atas kertas dan papan kunci dia gemar melayangkan kata-kata buat tatapan yang sudi membaca. Sebagai peminat buku, muzik, wayang, dan makanan, hobi sampingannya adalah merenung bulan, bermain dalam hujan dan meluangkan masa untuk bersama keluarga dan teman-teman terdekat.