Jika sepuluh orang ingin memasuki sebuah rumah, dan
hanya sembilan yang menemukan jalan masuk,
yang kesepuluh mestinya tidak mengatakan,
“Ini sudah takdir Tuhan.”
Ia seharusnya mencari tahu apa kekurangannya.
-Jalaluddin Rumi
Puisi ini telah dikarang oleh Maulana Jalaluddin Rumi, seorang ahli Sufi yang amat masyhur dari Negara Parsi dalam abad ke 13. Apa yang telah menarik perhatian saya mengenai puisi ini adalah keringkasannya dari segi pemilihan kata dan penyampaiannya. Ia tidak perlu bergantung pada pembangunan kata yang ‘puitis’ dari segi penggunaan unsur-unsur bahasa kesusasteraan seperti metafora dan simbolisme. Teknik ini malah membantu menyampaikan mesej puisi ini dengan amat berkesan dan mendalam, terutama baris yang terakhir yang berbunyi, “Ia seharusnya mencari tahu apa kekurangannya.” Baris ini sahaja cukup untuk merangkumi pesanan yang ingin disampaikan dalam karya ini.
Ada beberapa perkara yang dapat digarap menerusi puisi yang hebat ini. Mesej yang paling ketara adalah kepentingan sikap bermuhasabah diri dan tidak menyalahkan takdir. Puisi ini menekankan tentang kepentingan mencari jalan keluar tatkala berhadapan dengan masalah. Ini kerana meskipun kita seolah-olah dilepaskan dari peluang untuk melakukan sesuatu, tidak semestinya kita terus berputus asa. Malah apa yang lebih penting adalah untuk mencari sebab-sebab atas mengapa kita terlepas daripada menerima peluang itu.
Puisi ini, dengan keringkasannya dari segi pemilihan kata, amat berkesan dalam menyampaikan mesej yang amat mendalam. Ia amat mudah difahami oleh pembaca awam, namun pada masa yang sama, amat berkesan dalam mengajak kita berfikir secara serius.




