George Bernard Shaw pernah berkata, âYouth is wasted on the youngâ (Zaman belia terbuang begitu sahaja bagi si remaja). Namun, saya tidak berpendirian sedemikian. Bagi saya, usia remaja merupakan saat di dalam kehidupan di mana kita harus sentiasa memburu cita-cita, berbekalkan semangat dan sokongan padu orang di sekeliling, terutamanya keluarga, para pendidik dan teman-teman. Mungkin ada sesetengah remaja yang memperlekehkan saat yang genting ini kerana menurut mereka, ada hari esok yang boleh memperbetulkan kegelinciran yang lepas. Namun, lebih ramai lagi remaja yang pandai memanfaatkan saat yang kritikal ini untuk membina paksi kukuh demi menempuhi hari muka yang belum diketahui.
Saya sempat mewawancara seorang belia yang menjadikan kekata âgenggam bara api biar sampai jadi arangâ sebagai kekunci hidupnya. Beliau ialah Nur Efydayana Aditijawarman (22 tahun), seorang penuntut tahun terakhir di Politeknik Republik (RP) yang mengambil jurusan Customer Relations and Service Management, sebuah bidang yang memperkasakan si penuntut dengan kerencaman ilmu, seperti pengurusan bisnes, pemasaran, servis tetamu dan sebagainya.
Sewaktu mewawancaranya, terdetik juga di hati saya untuk menanyakan sedikit sebanyak mengenai projek tahun akhirnya atau lebih dikenali sebagai Final Year Project (FYP). Beliau menceritakan bahawa kumpulannya telah menjadikan teori Daniel Goleman iaitu emotional intelligence (EQ) atau kepakaran emosi sebagai dasar projek mereka. Mereka ingin menguji samada seseorang yang mempunyai EQ yang tinggi dapat melahirkan prestasi yang lebih cemerlang di arena pekerjaan, berbanding mereka yang mempunyai EQ yang lebih rendah. Jika kenyataan ini ternyata sahih, maka mereka berharap dapat menambah nilai kepada politeknik mereka dengan menyarankan agar setiap pelajar yang menuntut di sana menjalani kursus praktikal dan teori dalam meningkatkan EQ mereka. Ini, menurut mereka, akan memastikan bahawa bekas penuntut RP akan mempunyai kualiti pekerja yang diinginkan dan mampu berdaya saing dengan orang ramai di luar sana.
Saya juga sempat menanyakan kepadanya tentang debat âPolytechnic versus Junior Collegeâ ini. Maklumlah, kebelakangan ini, politeknik tidak hanya merupakan alternatif kedua selepas maktab rendah, malah merupakan pilihan pertama bagi sesetengah mereka yang mempunyai keputusan cemerlang. Beliau akur bahawa kursus-kursus di politeknik memperkayakan si penuntut dengan kemahiran pekerjaan yang diperlukan syarikat-syarikat. Baginya, beliau bersyukur kerana sistem RP agak berlainan sedikit kerana ia memupuk pembelajaran menerusi penganalisaan masalah atau problem-based learning. Ini menjadikan para penuntut lebih dinamis dalam proses pembelajaran dan meningkatnya daya interaksi dan semangat berpasukan mereka, yang sangat diperlukan untuk sebarang projek atau tugasan yang diberi.
Namun apa yang lebih penting baginya, adalah pilihan jalan hidup masing-masing. Bagi mereka yang bercita-cita tinggi masuk ke universiti, pilihan untuk ke maktab rendah mungkin lebih sesuai kerana cabaran langkah ke universiti dari politeknik sangat mencabar. Natijahnya, beliau menyarankan agar para remaja bijak mengukur baju di badan sendiri dan memilih sesuatu bukan kerana pengaruh atau tekanan, tetapi mengikut kemahiran dan minat masing-masing.
Baginya, tidak kira bidang apa pun yang dipilih seseorang pelajar itu, cabaran pemohon kerja tetap sama. Seseorang itu tidak hanya harus bersaing dengan mereka yang dinamakan foreign talent atau pekerja asing, malah harus juga peka dengan fenomena yang di luar kawalan manusia seperti krisis ekonomi dan sebagainya.
Melanjutkan tentang pelan jangka pendeknya, Efydayana berkata bahawa beliau bercadang untuk memanfaatkan salah satu bidang tukikan Singapura, iaitu industri pelancongan dan perhotelan demi melakarkan kerjaya pada masa hadapan. Baginya, pembukaan tempat-tempat tarikan pelancong seperti Resorts World Sentosa â Universal Studios Singapore bakal menjanjikan banyak peluang pekerjaan yang didambakan, apatah lagi semenjak iklim ekonomi murung kebelakangan ini.
Seperti yang dikatanya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.





