Nick,
Brian,
Howie,
AJ.
Kumpulan ini sudah 16 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan dan memikat hati ramai anak muda yang telah membesar bersama lagu mereka. Backstreet Boys yang kini hanya tinggal 4 anggota kerana Kevin memutuskan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya tidak hilang ‘sengat’ mereka. Dengan album terbaru ‘This is us’, mereka telah ke Singapura untuk mempersembahkan sebuah konsert yang amat dinanti-nantikan selepas kemunculan mereka di pentas sempena Marina Bay Street Circuit tahun lalu.
Saya sememangnya di antara jutaan peminat yang meminati kumpulan ini. Dengan lagu-lagu mereka yang ternyata mantap bukan sahaja daripada segi vokal tetapi juga penampilan mereka yang harmoni, saya terus jatuh cinta kepada mereka sejak mendengar album Millenium. Lantas, apabila saya diberi kesempatan untuk menonton persembahan mereka secara percuma, saya tersenyum kegirangan.
Ternyata, konsert yang bermula daripada jam 8 hingga 9:30 malam tidak mengecewakan. Bermula dengan lagu ‘Backstreet Back’ sebagai pembuka tirai, penonton yang memenuhi seluruh dewan di tingkat 6 dipersembahkan dengan lagu-lagu lama dan juga lagu-lagu baru. Hampir semua penonton yang menonton konsert itu berdiri sambil berteriak nama mereka. Pada saat itu, saya berasa seperti saya berada di Marina Bay menyambut Hari Kebangsaan Singapura. Di kiri dan kanan saya, semua peminat menyanyikan lagu mereka dengan kuat dan lantang. Beberapa penonton yang membeli tiket termahal berharga $148 terpaksa berdiri di atas kerusi kerana sekumpulan penonton yang lain telah menyerbu ke hadapan dan mengerumuni hujung pentas.
Kelainan yang dilakukan oleh Backstreet Boys kali ini ialah dengan menggunakan deejay yang memainkan muzik mereka. Ruang pentas kelihatan lengang dan penari bebas bergerak ke setiap sudut pentas. Setiap waktu ‘rehat’, penonton disajikan dengan video-video adaptasi seperti Nick menjadi Keanu Reeves dalam filem Matrix. Akhirnya, penonton tersenyum puas kerana mutu konsert yang mantap lagi menghiburkan. Semoga berjumpa lagi!





