Oleh Nuramalina A. Ghani & Siti Nur Nadirah Asmadi
Pada 12 Januari yang lepas, Haiti dilanda gempa bumi yang amat dahsyat. Selang lebih kurang dua bulan selepas itu, Chile pula ditimpa tragedi yang sama. Sedang warga Singapura merungut mengenai keadaan cuaca yang amat panas, warganegara kedua negara terbabit harus memikirkan mengenai masa depan mereka yang kian malap. Walaupun pelbagai peruntukan telah diusahakan oleh negara-negara lain, bantuan yang diperlukan masih belum mencukupi. Kegenjotan yang dialami oleh kedua-dua negara semasa proses pembahagian bantuan telah membuat keadaan bertambah teruk.
Kejadian gempa bumi telah berjaya meningkatkan kesedaran umum mengenai keperluan mangsa-mangsa kejadian tersebut. Namun begitu dalam menghulurkan bantuan ikhlas, masyarakat harus peka dengan pelbagai ‘organisasi’ yang kononnya dapat memberikan bantuan kewangan secara ‘online’ dengan sekali ketik sahaja. Misalnya selepas kejadian gempa bumi di Haiti, terdepat sebuah applikasi di ‘Facebook’ yang membolehkan para pengguna menghulurkan bantuan dengan sekali ketik sahaja.
Kurang dua hari, ‘newsfeed’ kami telah dihujani paparan berita dari aplikasi tersebut. Walaupun kami akur, ramai di antara kita sejujurnya ingin menghulurkan bantuan dengan ikhlas, kita juga harus peka dengan ‘online scams’ yang merebak luas. Kita haruslah menyiasat organisasi mana yang mereka atau menyebarkan aplikasi tersebut.Kebanyakan daripadanya direka dengan niat yang terselindung; mengambil data peribadi akaun Facebook kita supaya ia dapat digodam oleh pihak tertentu. Data peribadi kita kemudiannya boleh digunakan untuk aktiviti ‘spamming’ atau ‘viral advertising’. Kita harus lebih celik kepada muslihat-muslihat baru dan elak daripada memuatturun sebarang aplikasi tanpa disiasat dahulu.
Selain daripada applikasi-applikasi ‘online’ yang timbul seperti cendawan dalam hujan, rakyat Singapura digemparkan pula dengar berita-berita mengenai gempa bumi yang diramalkan berlaku pada akhir bulan Januari. Salah satu daripada berita tersebut telah disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh seorang Ustaz kepada mereka yang menghadiri ceramah beliau. Akibatnya lebih 30 buah keluarga telah meninggalkan tanah air untuk menyelamatan diri mereka. SMS itu telah menyatakan bahawa ‘Seorang sepupu ada pergi ceramah kelmarin dan seorang ustaz memberitahu bahawasanya hari Jumaat ini (29 Januari) akan berlaku kejadian GEMPA di sini. Wallahualam. Marilah kita berdoa agar kita dan keluarga serta seisinya diselamatkan dari mala bencana… amin.’ SMS lain yang berkaitan juga menyatakan bahawa gempa bumi itu akan berlaku antara 8 pagi dengan 12 tengah hari pada 31 Januari sekiranya ia tidak berlaku pada tarikh asal.
Tambahan lagi, berita mengenai gempa bumi di Singapura juga hangat disebarkan di Internet melalui lelaman Youtube. Beberapa video telah dimuatnaikkan seorang lelaki berbangsa asing yang menggesa Presiden dan rakyat Singapura agar berwaspada dan berhati-hati. Lelaki itu yang mengenalkan dirinya sebagai Frankie McDonald mengatakan bahawa akan berlakunya sebuah gempa bumi pada bulan Januari yang berukuran 7.2 atau lebih pada skala Richter. Tambahnya lagi, gempa bumi itu akan melanda kawasan-kawasan seperti Malaysia, Taiwan, Jepun, British Kolumbia dan Kanada. Dia juga menyeru kepada Presiden Amerika Syarikat dan Kanada agar mengambil tindakan yang sewajarnya untuk bersiap sedia mengatasi gempa bumi itu. Frankie McDonald juga telah meramalkan bahawa besar kemungkinannya, gempa bumi itu akan menyebabkan sebuah tsunami.
Kesimpulannya, dalam menangani khabar angin yang tersebar luas, kita haruslah sentiasa berwaspada dan tidak terlalu mempercayai maklumat tersebut tanpa mengenal pasti asal usul timbulnya cerita tersebut. Dalam menghidupkan lagi semangat kemanusiaan dengan menghulurkan bantuan, kita harus mengenal pasti pihak-pihak yang mendakwa dapat menjadi pengantara bagi kita yang kurang berkemampuan untuk menolong mangsa-mangsa tragedi sebegini secara langsung. Sewajarnya kita selidik dahulu pihak-pihak berkenaan sebelum kita terjerat dalam tipu musilihat mereka ataupun kehilangan wang ringgit.





