KABUS

KABUS

Dan mereka seringkali berkata, rumahku adalah syurgaku. Namun pernahkah terlintas di fikiran anda unsur ironi yang terkandung dalam kiasan ini?


Photobucket

Sumber: Seketariat Seni PBMUKS

Syurga dibayangkan sebagai sebuah tempat yang suci lagi sempurna dan kesempurnaan ini dikatakan tiada tandingnya. Manakala rumah merupakan tempat berteduh keluarga yang pada masa yang sama, turut menjadi saksi segala ‘drama’ yang berlaku dalam ruang berempat penjuru itu. Makanya, bagaimanakah analogi ‘rumahku syurgaku’ berkesan sekiranya kita secara peribadi tahu bahawa kisah rumah kita masing-masing tidak sesempurna sepertimana syurga itu dibayangkan?
Kabus- Pentas Budaya 2010 yang diterajui sekretariat seni dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura(PBMUKS) bakal mementaskan secara kreatif dan artistik perihal ‘syurga’ yang disebutkan di atas ini. Kabus bertujuan memaparkan garisan kurang jelas, dan lantas kabus, yang memisahkan dua domain penting dalam kehidupan kita sebagai manusia; satunya yang kita anggap sebagai ‘rumah’ manakala yang satunya lagi apa yang kita bayangkan sebagai ‘syurga’.
Menurut naib ketua seni Nafisah Anwar, konflik-konflik yang bakal diketengahkan dalam Kabus diharapkan dapat mendorong para penonton untuk bermuhasabah diri dan berfikir tentang apa sebenarnya peranan kita sebagai manusia dalam sesebuah masyarakat.
Beliau yang turut berperanan sebagai penulis skrip dan juga pengarah bagi pementasan ini mengharapkan bahawa para penonton dapat menghayati pementasan ini secara mendalam dengan menggunakan emosi sebagai alat untuk menghayati. Kerana bagi beliau, kebolehan menghayati inilah yang boleh mencerminkan kejayaan beliau menyampaikan apa yang diniatkan.
Pementasan beraliran komedi gelap ini bakal menumpukan kepada empat keluarga Melayu Singapura yang menetap dalam blok HDB yang sama. Mereka seringkali terserempak dengan satu sama lain, khususnya dalam lif blok HDB berkenaan, tetapi mereka tidak begitu cenderung untuk berinteraksi dengan masyarakat mahupun sesama mereka sendiri.


Photobucket

Sumber: Seketariat Seni PBMUKS

Lif yang sama dijadikan ruang pertemuan antara mereka. Senyuman sentiasa terukir di bibir mereka, diselangi anggukan kepala setuju. Sayangnya, mereka sekadar berwayang.

Keadaan ini beransur hilang pada saat ruang lif ditinggalkan dan mereka berpisah ke rumah masing-masing di mana pintu rumah ditutup rapat sekaligus menutupi rahsia alam “syurga” mereka.
Apakah rahsia yang diselindungkan oleh keempat-empat keluarga ini? Begitu hitamkah rahsia mereka sehingga terpaksa berwayang dan berlakon di khalayak ramai?
Rahsia ini bakal terbongkar di atas pentas UCC pada 11 April 2010 nanti pada 3.30 petang dan 7.30 malam.

Penempahan tiket boleh dibuat secara dalam talian melalui emel di pentasbudaya2010@gmail.com ATAU anda boleh hubungi saya (Hannah) di talian 91153437 ATAU Saudari Zahirah di talian 98375572. Sila nyatakan nama penuh anda, nombor kad pengenalan, nombor telefon, emel dan juga sesi manakah (petang atau malam) yang anda berminat untuk hadiri.

Tentang Penulis

nurulhannah Saya seorang pemaaf yang mementingkan kesempurnaan. Juga, seorang yang minat dalam bidang seni serta cinta kepada Bahasa Melayu. Saya hidup untuk makan; bukan sebaliknya. Saya juga gemar dan mahu melakukan perkara-perkara yang mencabar kebolehan fizikal dirinya; seperti bungee jumping. Saya akan berasa gembira apabila dikelilingi orang-orang yang disayangi.