Pesta Pantun 2010

Pesta Pantun 2010

Akudeta.com

Sumber: Penganjur Pesta Pantun

Santapan diraja sudah dihidang,
Enak dijamu bersama si dayang.
Berakhir sudah acara gemilang
Tradisi dijunjung, Juara dijulang.

Pada 6hb Mac 2010, telah berlangsungnya peringkat akhir bagi Pesta Pantun 2010 iaitu suatu pertandingan berbalas pantun anjuran Sekretariat Persuratan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). Pertandingan yang dapat mencungkil bakat-bakat kreatif berpantun dari kalangan pelajar-pelajar posmenengah itu juga bertujuan untuk melestarikan tradisi berpantun yang sememangnya merupakan kebanggaan budaya Melayu kita.

Pertandingan Pesta Pantun 2010 yang bertempat di Perpustakaan Masyarakat Geylang East itu menyaksikan tiga sekolah terhandal yang telah mara ke peringkat akhir iaitu Maktab Rendah Anderson, Institusi Raffles (Maktab Rendah) dan Maktab Rendah Yishun. Ketiga-tiga sekolah mempunyai misi yang sama iaitu untuk merebut piala juara yang disumbangkan oleh Tuan Suratman Markasan, yang juga merupakan tetamu terhormat pada hari itu.

Peringkat akhir Pesta Pantun yang bertemakan “Meniti Jalan Kenangan” begitu sengit sekali di mana tuntutan pertandingan memerlukan kewibawaan dan ketrampilan yang gah dari setiap peserta. Tentunya keenam-enam pusingan pada peringkat akhir amatlah mencabar, terutama sekali pusingan terakhir yang memerlukan peserta menyisipkan nama-nama benda misteri ke dalam pantun enam kerat mereka. Tidak lupa juga, pusingan drama yang menampilkan kebolehan para peserta berdialog menggunakan pantun dua kerat. Sungguh mencuit hati melihat gelagat peserta-peserta dalam pusingan ini! Ada yang sempat menyisipkan elemen jenaka dalam lakonan mereka!

Semestinya, para penyokong dan guru-guru bagi sekolah yang bertanding berasa ghairah untuk mengetahui sekolah manakah yang akan merebut takhta Juara. Namun, keputusan terletak pada kearifan dan keadilan para juri pada hari itu, iaitu Cikgu Selamat Omar, yang juga merupakan pengendali bengkel Pesta Pantun 2010, Cikgu Kartini Anwar, Puan Haryani Ismail dan Encik Riz Sunawan. Lantas, sekolah manakah yang dapat menarik hati para pengadil dan layak menjadi Juara?


Akudeta.com

Sumber: Penganjur Pesta Pantun

Kerana muafakat dan satu kata,
Segala impian menjadi nyata.
Kerana bakat dan juga gaya,
Maktab Yishun meranggul takhta!

Terserlah kehebatan Maktab Rendah Yishun apabila mereka dinobatkan sebagai Juara bagi Pesta Pantun Edisi Keempatbelas itu. Tuah mereka tidak berhenti setakat itu sahaja, malah anugerah Pemantun Terbaik peringkat akhir juga dimenangi oleh salah seorang peserta mereka, Muhammad Andyqar, yang candi lagi berbakat. Tempat kedua yang dimenangi oleh Institusi Raffles (Maktab Rendah) dan tempat ketiga oleh Maktab Rendah Anderson juga tidak kurang hebatnya. Syabas diucapkan kepada ketiga-tiga sekolah, dan juga semua sekolah yang menyahut cabaran Pesta Pantun 2010. Semoga ketemu lagi di temasya pantun pada tahun hadapan!

Tentang Penulis

naqiah Saya gemar melakukan aktiviti-aktiviti yang menenangkan fikiran dan rohani. Lagi-lagi apabila ditemani orang-orang yang tersayang dan rakan-rakan yang amat saya hargai. Saya turut percaya bahawa keikhlasan dalam apa jua yang dilakukan akan membawa kepada keberkatan daripadaNya, lantas membawa kepada kebahagiaan nurani. Apa yang penting pada saya adalah penitian hari-hari dengan minda yang positif dan sentiasa mengarah kepada prinsip memperbaiki kelemahan diri. Akhir sekali, senyum-senyum selalu! :)