Dwibahasa

Dasar dwibahasa dalam pendidikan nasional di Singapura pada 1960-an telah membantu negara ini maju dengan cepat berbanding dengan negara-negara lain yang juga sedang membangun. Namun salah satu implikasi dasar ini adalah pelajar semakin terbiasa menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa ibunda masing-masing. Ramai yang kini melahirkan kebimbangan tentang meningkatnya jumlah keluarga yang lebih kerap bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, serta bilangan pelajar yang memerlukan tuisyen untuk Bahasa Melayu. Berikut adalah pandangan beberapa individu:

BM DWIBAHASA 1

Sumber: seijieiga.blogspot.com

“Bahasa Inggeris memang berguna dalam pembelajaran Sains dan Matematik. Saya tidak boleh bayangkan diri saya menggunakan Bahasa Melayu dalam subjek-subjek ini. Saya merasa lebih selesa menggunakan bahasa Melayu kerana keluarga saya selalu bertutur dalam bahasa Melayu. Namun lebih ramai kawan Melayu saya yang bertutur dalam bahasa Inggeris, kadang-kala secara bercampur-campur.”

- Nur Muhammad Fitri Abd Razak, 12, pelajar Sekolah Rendah Casuarina.


“Pelajar yang lemah dalam Bahasa Melayu selalunya tidak mempunyai insentif untuk cemerlang dalam subjek tersebut. Mereka memerlukan sokongan di rumah dan sekitaran mereka. Saya menggunakan pelbagai kaedah untuk membantu mereka, termasuk  membuat permainan perkataan, dan menonton cerita dongeng yang berpengajaran seperti Bawang Putih Bawang Merah. Melalui pendedahan dan kaedah interaktif, sedikit demi sedikit mereka menunjukkan peningkatan.”

- Nur Ain Bte Abdul Razak, 20 tahun, yang pernah mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Loyang sebagai guru sambilan.


Photobucket

Sumber: suepunyer.wordpress.com

“Walaupun dasar dwibahasa ini telah membantu masyarakat meningkatkan taraf kehidupan mereka, bahasa Melayu tidak boleh diketepikan. Saya rasa agak sedih apabila mendengar anak-anak Melayu yang tidak bertutur dalam bahasa ibunda sesama sendiri, biarpun bahasa ini senang dipelajari dan digunakan. Ada yang mungkin fikir menggunakan bahasa Melayu tidak ‘standard’. Bahasa Melayu mempunyai keistimewaannya sendiri, nahunya berlainan daripada bahasa Inggeris. Namun, kalau generasi muda sekarang tidak menghargai bahasa sendiri, bahasa ibunda kita akan hilang suatu hari nanti.”

- Cik Jamaliah Bte Ahmad, 60, seorang guru tuisyen Bahasa Melayu yang telah mengajar lebih 20 tahun.


“Dalam pendidikan pra-sekolah, kanak-kanak digalakkan mempelajari bahasa ibunda masing-masing di dalam kelas. Di sinilah mereka mula meminati dan menghargai keistimewaan bahasa Melayu. Namun, ada ibubapa yang menghantar anak-anak ke kelas bahasa tambahan untuk mempersiapkan mereka bagi pendidikan dwibahasa. Pada pendapat saya, langkah sedemikian mampu memberi tekanan kepada kanak-kanak dan membuat mereka hilang minat terhadap bahasa ibunda.”

- Nurul Mardhati bte Masroni, 20, seorang guru tadika di Masjid Al-Ansar.

Tentang Penulis

nurhaizum Saya rasa saya masih dalam perjalanan mengenali diri sendiri. Kurang dari segi pengalaman dan banyak lagi yang perlu saya belajar. Dan saya percaya dalam menulis sesebuah karya, banyak pengalaman yang boleh diraih. Sebagai seseorang yang pendiam, menulis bagi saya adalah satu cara yang efektif untuk mengekspresikan diri. Melalui karya saya, saya cuba menggambarkan keperibadian saya dan cuba memberi kesan kepada orang lain.