Hutang

Bercakap tentang isu hutang, memang tidak terkejut jikalau kita mendapat tahu bahawa ada orang Melayu kita yang dihantui masalah hutang. Terdapat pantun yang berbunyi:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Mungkin pantun ini sering didengari sewaktu zaman bersekolah dahulu. Namun, pernahkah kita renung-renungkan isu hutang itu sendiri?

Jangan cakap fasal pantun sahaja, malah di televisyen turut dipaparkan skim berhutang! Nampak gayanya, trend berhutang seperti sudah sebati dengan gaya hidup sebilangan masyarakat Melayu…

Berdasarkan contoh-contoh yang jelas di depan mata, kita dapat melihat bahawa media massa telah dijadikan wadah bagi menyebarkan mesej berhutang, baik yang positif mahupun negatif.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa adalah wadah yang sangat berkesan bagi mempengaruhi minda dan gaya hidup kita.

Salah satu perkara membimbangkan ialah penyebaran mesej ‘Pakai dulu, Bayar kemudian’. Kalau kita menyingkap ‘sejarah’ dari dahulu lagi, ‘kata-kata hikmah’ ini pada mulanya sering diwar-warkan oleh Kedai emas, Golden Chance. Slogan kata seperti ‘Pakai dulu, Bayar kemudian’ dan ‘Puas hati di Golden Chance’ kerap kali kedengaran. Secara tidak langsung, ia memberi isyharat kepada orang ramai bahawa adalah wajar untuk berhutang bagi menikmati keselesaan. Atau mungkin lebih tepat lagi kalau kita ungkapkan cogan ‘jangan nampak papa, asalkan kita bergaya.’

Memang sedap mata memandang tatkala melihat diri dihiasi dengan barangan emas. Diri kita akan tampak kaya, megah dan bergaya. Kita berpendapat bahawa orang lain yang melihatnya pun tidak akan memandang rendah terhadap diri kita.

BM Hutang v3

Sumber: gumbira.com

Namun haruskah kita mengambil peduli mengenai tanggapan orang lain terhadap diri sendiri? Kalau dikatakan mengenai hal bergaya, siapa yang tidak mahu dipuji? Kendatipun, kalau ingin sahaja dipuji tetapi berhutang-piutang di keliling pinggang, pujian itu seperti membawa binasa pada diri sendiri. Bukannya orang yang memuji kita tinggi melambung ini akan membantu kita untuk membiayai hutang piutang kita. Paling ‘manis’ yang akan mereka katakan adalah ‘kesian’! Mereka akan hanya setakat simpati, dan bukan empati. Oleh itu, kita haruslah mengukur baju di badan sendiri.

Ini baru hutang dalam pembelian barang kemas. Bagaimana pula mereka yang berhutang untuk melancong? Contohnya, syarikat Chan Brothers yang mengundang Fauzie Laily sebagai penghibur bagi percutian di Pulau Redang. Sememangnya ia tampak menarik, kerana seorang selebriti Singapura menjadi penglipur lara kepada para pelancong. Namun, skim yang ditawarkan merupakan skim bayaran ansuran bagi mereka yang berminat untuk melancong. Skim ini boleh dikatakan laksana ‘melancong dulu, bayar kemudian’. Dalam erti kata lain, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk membayar bagi keperluan dan khidmat pelancongan. Mereka boleh bersuka ria dahulu dan berseronok menerusi skim cuti pelancongan ini.

Adakah ini suatu perkara yang baik? Berseronok dahulu dan kemudian membayar bagi keperluan yang belum dilangsai. Wajarkah ini?

Bagi mereka yang nyata berkemampuan, bolehlah mereka berseronok dahulu dan kemudian membayar kos perbelanjaan. Namun, masalah menjadi rumit apabila mereka yang sememangnya kurang berkemampuan dan kemudian berhutang semata-mata untuk melancong. Pada pendapat saya, kalau kita sememangnya tidak mampu, janganlah kita membebankan diri kita dengan lebih banyak hutang.

Kata-kata hikmah daripada Abang Abu, atau nama sebenarnya, Abuayubul Ansari, wajar dijadikan pedoman dalam kehidupan kita. Beliau adalah ketua pegawai eksekutif di Now Asia.

Walaupun ada yang menolak nasihatnya dengan menyatakan bahawa beliau sudahpun berpangkat Guru dalam bab kewangan dan tidak mempunyai masalah kewangan, kita sebagai insan kerdil harus peka akan kelemahan diri sendiri dan belajar daripada mereka yang pakar.

Di lelaman kendalian Abang Abu, http://abangabu.com/category/biztips/page/4/, beliau turut berkongsi pengalamannya yang pernah mengalami masalah hutang. Beliau juga datang daripada keluarga susah dan ibu bapanya pula telah meninggal dunia apabila beliau baru berusia 20 tahun. Dengan azamnya yang teguh dan utuh, beliau telah menjadi seorang jutawan seawal usia 30 tahun. Menerusi pengalamannya, beliau ingin mendekati masyarakat umum untuk berkongsi cara-cara yang mudah, tetapi berkesan untuk membasmi hutang.

Beliau telah melakarkan pelbagai strategi, antaranya yang bernama M.A.P untuk KAYA.

Bermacam-macam ceramah juga disampaikan oleh Abang Abu, dan salah satunya ialah “Anda Ada Problem dengan BMW ( Bisnes , Minda , Wang ) anda?”. Sekali pandang, tajuk bagi ceramah ini memang menarik. Maka tidak hairanlah kalau ramai orang yang sering membanjiri ceramah beliau.

Walaupun tajuk ceramah ini menarik, namun kalau orang ramai tidak mempraktikkan tip dan strategi yang dikongsi oleh Abang Abu dengan bijaknya, maka ia juga sukar bagi menggalakkan orang ramai daripada membasmi hutang.

Selain bab hutang, bagaimana pula dengan iklan yang menggandingkan Haizad dan Norfasarie. Mereka dengan mudah mengetengahkan isu pajak gadai kerana kurangnya wang untuk membiayai keperluan bayi? Wajar atau tidak kelakuan sebegini?

Jika kita tidak ada wang untuk membiayai keperluan asas bayi, perihal mengadai barang kemas bagi memperolehi wang lebih boleh dianggap sesetengah pihak sebagai wajar. Ada yang berpendapat bergadai barang bererti kita tidak berhutang seperti contoh-contoh sebelumnya. Malah yang menggadai barang kemas telah membayar keperluan mereka tanpa berhutang. Bukankah perkara ini molek?

Namun, ada juga mungkin kurang senang dengan konsep yang diketengahkan, iaitu sanggup bergadai barang kemas untuk mendapat wang.

Apakan tidaknya, konsep menggadai barang kemas semata-mata untuk membiayai barang keperluan bayi adalah rancangan bagi jangka masa yang pendek sahaja! Adakah mereka akan senantiasa menggadaikan barang kemas untuk membiayai semua keperluan anak-anak mereka?

BM HUTANG 3

Sumber: frankiethai.blogspot.com

Adalah lebih baik dan tepat kalau Haizad ditampilkan sebagai seorang yang lebih ‘berwawasan’ dengan mengambil kerja sambilan bagi menampung kos kehidupan yang lebih meningkat dengan kehadiran bayi. Inilah jenis rancangan jangka panjang yang harus difikirkan oleh golongan suami dan bapa. Kata orang, tugas dan tanggungjawab seorang ketua keluarga adalah berat. Ada benarnya kata-kata itu, justeru si lelaki harus bersikap proaktif dan berfikiran jauh bagi meningkatkan status kehidupan berkeluarga. Mujurlah iklan sedemikian adalah rekaan semata-mata. Namun, jika ia menggambarkan situasi di luar skrin televisyen, amat penting bagi kita mengekang masalah baru ini daripada menjadi satu lagi tren negatif dalam masyarakat setempat.

Tentang Penulis

RabiatulAdawiyah Saya suka menulis dalam bahasa melayu. Ini memberikan saya kepuasaan kerana saya mempunyai minat yang mendalam.