Kekejaman Terus Dikutuk Warga Dunia…

Kekejaman Terus Dikutuk Warga Dunia…

Anda pasti pernah terdengar atau terbaca tentang serangan tentera Israel ke atas flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza (Gaza Strip). Walaupun kurang jelas akan cerita yang sebenar, tetapi sekurang-kurangnya anda tahu bahawa perkara sedemikian telah berlaku. Berita tersebut telah mengejutkan seluruh warga dunia, kecuali sesiapa yang masih terpinga-pinga tidak tahu-menahu tentang perkara ini. Sekiranya ada yang masih tidak tahu atau tidak mengambil tahu akan perkara ini, sudah tiba masanya untuk kita sedar bahawa kejadian yang telah berlaku bukanlah sesuatu yang boleh diperlekehkan kerana ia mengancam keamanan dunia.

Kita yang mungkin terlalu selesa hidup di kota Singapura yang kecil dan harmoni ini tidak boleh memandang ringan hal sedemikian, walaupun ia berlaku jauh dari negara kita. Tiada perkara yang boleh dianggap ‘jauh’ daripada kita, apatah lagi jika perkara tersebut membabitkan hal kemanusiaan dan keamanan.

BM GAZA 1

Sumber: channelnewsasia.com

Secara amnya, jika kita membaca sebarang berita mengenai kekejaman atau serangan ke atas seseorang atau sesebuah pihak, secara semulajadi kita akan bersimpati dengan pihak yang diserang. Itulah sifat kemanusiaan yang memang ada dalam setiap insan yang berperasaan. Lebih-lebih lagi jikalau yang diserang itu tidak bersalah. Dalam konteks ini, aktivis-aktivis dalam kapal tersebut digambarkan sebagai mangsa kerana tentera Israel telah menyerang kapal Mavi Marmara yang dalam perjalanan menuju ke Gaza untuk menawarkan bantuan kemanusiaan kepada orang-orang Palestin di sana. Niat murni mereka untuk membantu telah disambut dengan kekejaman. Siapa akan duduk diam melihat kekejaman terus dilakukan? Seperti analogi daripada salah seorang pembaca di lelaman forum dalam talian The Straits Times, yang dikenali sebagai Eagle_2004,

“Jikalau anak-anak saya sedang bermain di halaman rumah saya dan jiran sebelah mencampak batu ke arah mereka, apakah agaknya tindakan saya?  Saya boleh cuba untuk berunding dengan cara baik untuk menyelesaikan masalah ini tetapi jika pujuk rayu saya tidak diendahkan, saya berhak untuk mempertahankan anak-anak saya”.

Namun, masalah ini tidak boleh dilihat dari satu sudut pandangan sahaja. Pihak yang menyerang mungkin ada sebab atau alasan (terpulang kepada pembaca untuk menyifatkannya sebagai sebab atau alasan) mengapa mereka melakukan yang sedemikian. Menurut sebuah artikel yang bertajuk ‘Israel’s Actions Were Entirely Lawful Though Probably Unwise‘ di lelaman The Huffington Post pada tarikh 1 Jun 2010, penulis artikel Alan Dershowitz mengatakan bahawa tindakan Israel berasas. Salah satu daripada sebab yang diberikan adalah para aktivis tersebut telah melanggar undang-undang Israel yang tidak membenarkan mereka melepasi kawasan yang berada dalam kawalan kepungan ketenteraan Israel. Dengan itu, menurut pandangan Alan Dershowitz, Israel berhak menyerang kapal yang mengancam keselamatan negara mereka.

BM GAZA 2

Sumber: foxnews.com

Apa juapun bidasan yang dilemparkan, yang pastinya, kedua-dua pihak mempunyai misi yang sama, baik pihak tentera mahupun aktivis. Tanggungjawab mereka serupa; iaitu untuk mempertahankan hak masing-masing. Pihak tentera mempertahankan negara mereka daripada ancaman luaran lantas berhak untuk menyerang sesiapa yang dianggap dapat mengocak kestabilan negara. Serupa dengan itu, pihak aktivis pula berperanan membela hak kemanusiaan orang-orang Palestin di Gaza yang dianggap sebagai golongan tertindas.

Namun begitu, setiap tindakan yang diambil harus difikirkan dengan teliti, terutama sekali apabila ia melibatkan pihak lain yang mempunyai pendapat dan pendirian yang berbeza. Kita harus menghormati pendirian mereka. Kekejaman dan kekerasan bukanlah jalan keluar untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Tentang Penulis

nurizzati Saya seorang yang suka bergelak ketawa, tetapi masih waras. Saya juga gemar bersama keluarga dan teman-teman, tetapi kadang-kala senang bersendirian.