Jikalau disuruh pilih antara filem-filem seram Melayu yang pernah dihasilkan seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Jangan Tegur, pasti sekali saya akan memilih yang paling terkini yakni Niyang Rapik.
Bukan kerana watak-watak utamanya merupakan jejaka-jejaka segak dan tampan seperti Zed Zaidi dan Awal Ashaari, tetapi lebih kepada jalan ceritanya yang tersusun, mudah difahami dan menarik.
Nama Niyang Rapik itu sendiri merupakan sebuah kawasan, yang telah diilhamkan oleh Ahmad Idham selaku pengarah bagi filem seram ini.
Niyang Rapik merupakan destinasi pilihan bagi empat mahasiswa untuk melakukan kajian mereka. Di kampung tersebut, keempat-empat jejaka muda berkenaan dijemput dan dilayan dengan mesra oleh penghulu kampung dan juga anak perempuannya, Laila.
Namun, disebabkan sebuah kesalahan yang telah mereka lakukan sewaktu di Niyang Rapik, salah satu daripada mereka menemui ajal secara misteri satu tahun kemudian- mati akibat perut busung. Kerana dihimpit rasa bersalah, mereka kembali ke Niyang Rapik untuk pulangkan benda yang mereka pernah ambil sewaktu di kampung tersebut.
Kepulangan mereka kali ini dijemput dengan suasana yang jauh lebih berbeza berbanding kunjungan mereka yang lepas. Keceriaan yang pernah menyinari kampung tersebut seolah-olah hilang ditelan keanehan yang kini menggantinya. Malahan, kejadian misteri dan malapetaka secara berturut-turut menimpa mereka secara berterusan-terusan semasa mereka di sana.
Rupa-rupanya apa yang mereka ambil bukan sekadar benda material yang boleh dipakaiganti, ia lebih daripada itu; ia menjejas nama dan maruah seseorang insan yang tidak bersalah.
Adegan-adegan seram dalam Niyang Rapik tidak kurang seramnya daripada filem-filem seram yang lain. Dengan kesan audio yang baik, hati saya ini tidak pernah tenteram dan asyik-asyik terkejut dengan apa yang dipaparkan di layar. Berbanding ‘hantu laut’ dalam Jangan Pandang Belakang, ‘hantu biru ala avatar’ dalam Jangan Tegur, makhluk-makhluk seram dalam Niyang Rapik lebih pelbagai tetapi adakalanya kepelbagaian makhluk ini tidak ada kaitan dengan cerita, hanya sekadar untuk menakut-nakutkan mereka yang menonton.
Namun, kelebihan Niyang Rapik sebagai sebuah filem seram yang mempunyai susunan plot yang rapi, menjadikannya sebagai pilihan kegemaran saya. Adegan-adegan dalam filem diketengahkan secara beransur-ansur dan dipaparkan secara tersusun oleh pengarah dan penulis skrip. Sehingga di akhir filem, kesemua persoalan yang terbuku di fikiran seolah-oleh lenyap kerana telah dileraikan dengan seluruh dan sempurna.
Barangkali, latar belakang filem tersebut yang telah dirakamkan di Tasik Kenyir memberi nilai estetik tambahan kepada Niyang Rapik. Suasananya cukup tenang dan indah, tetapi selepas menonton Niyang Rapik dan mendengar desas-desus oleh para pelakon sendiri tentang kejadian-kejadian aneh yang berlaku di sana semasa pengambaran, saya sendiri akan berfikir dua kali untuk berlibur di sana!





