O.K.I.E.

“Saya mahu beli satu gratis”. Anda yang faham bahasa Indonesia pasti tahu yang gratis bermakna ‘free of charge’. Lucunya, para peserta OKIE tersilap dan ingatkan gratis adalah kad prabayar. Ada juga terfikir gratis bermakna diskaun. Ternyata, itulah di antara kenangan lucu yang terus diingati setiap peserta OKIE.

OKI – Ogan Komering Ilir merupakan salah satu kawasan pemerintahan di wilayah Selatan Sumatera.  Ini termasuk 18 daerah dan kumpulan OKIE yang bermakna (Ogan Komering Ilir Expedition) berpusat di 2 kampung di daerah Kayu Agung.

LK OKI 2

Sumber: Peserta OKIE

“Ilham membuat YEP ataupun Ekpedisi Projek Belia mula-mulanya tercetus apabila Azmil, presiden PBMUKS, mensyorkannya. Azmil yang memperkenalkan kepada kami Puan Juliah Bee daripada Mercy Relief. Menerusinya, kerjasama  PBMUKS dan Mercy Relief bermula pada September 2009. YEP merupakan pelantar bagi para mahasiswa-mahasiswi untuk berbakti kepada  masyarakat dan pada masa yang sama, menimba pengalaman yang berharga bagi pembangunan diri masing-masing,” jelas Siti Khadijah Setyo, pengarah projek OKIE yang juga ketua bagi Sekretariat Kebajikan.

Sebelum itu, Khadijah harus menarik minat mahasiswa-mahasiswi NUS agar mengikuti ekspedisi ini. Pada peringkat permulaan, sambutannya agak hambar tetapi beliau berusaha terus sehingga dapat menarik 20 mahasiswa-mahasiswi yang berminat dan besar hati menyertainya. Perancangan intensif dimulakan pada bulan Disember di mana peserta-peserta harus mengikuti kursus-kursus tertentu, mencari penaja bersesuaian, membuat program ekspedisi dengan terperinci serta membuat perkara pentadbiran yang bertali-arus di samping memastikan aspek logistik kumpulan OKIE mantap. Pengarah projek, Khadijah, diikuti dengan Siti Aishah Kusairi dan Farid telah berpeluang ke luar negara selama 3 hari untuk melihat-lihat daerah Kayu Agong sehinggakan mereka berasa tidak sabar untuk memulakan ekspedisi sebetulnya.

Bagi Siti Aishah Kusairi, membuat perancangan bagi YEP merupakan sesuatu yang mencabar kerana mereka harus pastikan semua dapat berjalan dengan lancar. Di antara cabaran yang dihadapi ialah menjadualkan mesyuarat kumpulan padahal masing-masing sibuk dengan kerja dan juga bekerja sambil belajar (internship). Satu lagi cabaran yang dihadapi ialah dari segi kewangan. Namun, Alhamdulillah, mereka mendapat sokongan kuat daripada PBMUKS, Mercy Relief, NYC dan juga dan penaja daripada Yayasan Lee, Mendaki, serta sumbangan ikhlas daripada keluarga dan teman-teman.

LK OKI 1

Sumber: Jurugambar OKIE

“Pengalaman pertama saya menaiki kapal terbang cukup tidak diduga kerana saya terfikir saya akan merasa takut tetapi hakikatnya saya berasa lebih teruja biarpun masih gementar. Saya menyertai ekspedisi ini kerana  berpeluang menaiki kapal terbang dan yang pentingnya, menimba pengalaman-pengalaman yang tidak ternilai. Ibu bapa menyokong sepenuhnya apabila saya memberitahu keputusan saya. Mereka maklum yang membuat kerja kebajikan di luar negara merupakan salah satu matlamat saya di univerisiti,” jelas Eva, mahasiswi tahun ketiga dalam pengkhususan matematik.

Nur Diyanah Amalina Abdul Rashid, mahasiswi tahun ketiga dalam pengkhususan Ekonomik pula baharu pertama kali menyertai YEP. Beliau berkesempatan mempelajari budaya baru dan mengajar anak-anak kecil semasa OKIE ilmu yang sudahpun sebati dengan dirinya. Katanya “Saya tidak jangka bahawa pengetahuan yang kami bawa bersama telah membawa seribu senyuman kepada orang ramai. Inilah kuasa berkongsi. Kuasa ilmu”.

Tentang Penulis

Siti Nur Ida Binte Mohamed Ali Seorang yang optimis dan selalu berpandang ke hadapan. Menulis merupakan suatu yang sudah sebati dalam diri saya mentelah lagi, saya merupakan penulis sambilan bagi kelab obor di bawah didikan Cik Haryani Ismail. Tetapi, saya merasakan bahawa masih banyak yang harus saya pelajari kerana dunia penulisan amat luas. Saya gemar mencuba sesuatu yang baru kerana dengan cara itu, saya dapat menduga sejauh mana kemampuan saya. Prinsip saya dalam hidup ialah untuk tidak pernah sekali-kali berputus asa walaupun rintangan datang setinggi gunung sekalipun.