Perkampungan Bahasa 2010 (PB2010) telah pun berlalu dan mencipta banyak kenangan manis, khususnya bagi peserta-peserta perkhemahan dan juga bagi para pemudah acara. Tema Perkampungan Bahasa 2010 kali ini, iaitu Mitos Dan Lagenda, disambut baik oleh peserta-peserta tahun ini . Mereka telah berjaya menggunakan daya kreativiti mereka untuk menghasilkan karya-karya yang menarik terutamanya bagi acara peragaan fesyen dan pertandingan dokudrama.
Bagi PB2010, hadiah dokudrama terbaik jatuh ke tangan kumpulan Coklat. Kumpulan Coklat telah mengupas kisah Si Tanggang bagi dokudrama mereka. Sebagai sebuah mitos yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Melayu, kisah Si Tanggang adalah mengenai seorang jejaka miskin yang berjanji kepada ibunya untuk mencari kekayaan dan membahagiakannya. Sayangnya, perkara yang sebaliknya berlaku apabila beliau bernikah dengan puteri sultan dan menjadi orang terhormat. Si Tanggang ibarat kaduk naik junjungan. Ibunya tidak dapat menahan amarah lalu menyumpahnya menjadi batu.
Kumpulan yang kreatif ini telah menukar cerita ini agar tampil lebih menarik serta melucukan di samping mengekalkan mesej yang sama. Tanggang telah disumpah menjadi patung Elmo, watak Taman Sesame, dan Tanggang dikisahkan tinggal di sebuah pangsapuri yang mewah. Saya telah berpeluang menemuramah dua anggota Coklat, Abdul Jalal dan Hanin Insyirah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai video mereka dan juga perasaan mereka setelah memenangi pertandingan dokudrama di PB2010.
1) Apakah perasaan anda apabila video kumpulan anda memenangi video terbaik?
Hanin : Saya tidak terfikir akan memenanginya kerana saya merasakan kumpulan-kumpulan yang lain telah membuat video yang lebih baik.
Jalal : (Tersenyum lebar) Saya rasa amat bahagia sekali. Kemenangan kami tidak disangkakan !
2) Dalam dokudrama tersebut, anda sekumpulan telah merubah akhir kisah tanggang dan isterinya daripada menjadi batu kepada menjadi Elmo. Dari manakah bermulanya idea unik ini ?
Hanin : (Tertawa kecil) Idea tersebut bermula apabila kami diberi nasihat untuk membuat sesuatu yang lain daripada yang lain. Kami ingin membuat cerita ini lebih relevan dan menyeronokkan bagi para penonton dan panel juri.
Jalal : Ya, saya setuju dengan Hanin tetapi ilham bagi video kami datangnya daripada kreativiti kami secara tersendiri.
3) Pada pandapat kamu, masih relevankan cerita tanggang untuk zaman ini daripada segi moralnya?
Hanin: Ya. Kami merasa adalah amat penting bagi masyarakat hari ini untuk memahami bahawa kami tidak sepatutnya derhaka kepada ibu bapa kerana mereka insan terpenting dalam hidup kita.
Jalal: Tentu sekali. Ibu bapa penting dalam kehidupan kita.
4) Ceritakan satu babak yang paling anda gemari dan mengapa anda mengemarinya?
Hanin: Babak di mana si Ibu berjumpa dengan Tanggang. Babak itu amat melucukan tetapi saya tetap rasa bersedih keatas nasib Ibu Tanggang. Kasihan dia.
Jalal: Hmmm. Apabila, ibu tanggang sedang berdoa? Cara kami menyampaikannya sungguh lucu!
6) Jika ada lagi satu percalonan iaitu pelakon dokudrama terbaik, siapakah yang akan kamu nobatkan dan kenapa?
Hanin: Jalal. Dia dapat memainkan peranan sebagai si Ibu dengan baik dan dapat membuat penonton tidak kering gusi.
Jalal: Nurul Syahirah (anggota kumpulan Coklat). Dia telah berjaya berlakon sebagai isteri Tanggang dengan meyakinkan.
7) Ceritakan pengalaman manis yang tidak dapat kamu lupakan selama penggambaran video tersebut?
Hanin: Tiada pengalaman yang khusus, kerana kesemuanya menjadi pengalaman manis bagi saya.
Jalal : Semangat bekerjasama diantara anggota kumpulan Coklat tidak akan saya lupakan. Kami cukup mesra sehinggakan harus merakamkan beberapa adegan berkali-kali kerana tidak dapat menahan ketawa.
8 ) Apakah pengajaran paling berkesan yang boleh dapat kamu raih daripada cerita Si Tanggang ini ?
Hanin: Jangan derhaka pada ibu bapa dan jangan lupa jasa mereka ibarat kacang lupakan kulit.
Jalal : Jangan menderhakai ibu bapa kita kerana tanpa mereka siapalah kita.
9) Kata-kata akhir bagi pihak kumpulan anda..?
Hanin : Dokudrama merupakan landasan baik untuk kami para peserta lebih mengenali mitos dan lagenda Melayu. Syabas kepada semua kumpulan juga!
Bagi pihak kami di Akudeta, syabas diucapkan kepada kumpulan Coklat atas kemenangan mereka. Bagi para peserta-peserta lain PB2010, semoga perkhemahan PB2010 menjadi kenangan manis!





