Kemenangan Di Aidilfitri
0
Dalam keheningan malam Syawal ini
Aku terjaga dek kedinginan yang berduri
Menghayati sepi alam yang menelan segala bunyi
Aku merenung jauh menelaah isi bumi
Menghitung detik tatkala takbir berbunyi
Mencari kemenangan di Lebaran nan suci
Aku termangu mempersoalkan ertinya Aidilfitri
Di manakah letaknya insafi diri yang sering dipuja dan dipuji
Mana terpatrinya kemenangan pasca Ramadhan yang diraih diri?
Adakah ianya pada nilai harga baju baru yang berwarna-warni?
Atau pada hidangan tradisi yang dijadikan manifestasi sebuah budaya yang sejati?
Atau mungkin boleh jadi pada iman yang terpalit rapi di isi hati
Aku manusia ciptaan Illahi
Tiada daya aku menafsir mimpi
Biarlah erti kemenangan ini menjadi rahsia ukhrawi
Aku lega terlena di ambal kealpaan diri
Takbir dilaungkan memuji kebesaran Al-A’liy
Aku meneguk embun keinsafan pada setiap kali aku mencium lantai bumi
Mengingatkan aku kembali betapa hinanya diriku ini
Siapa aku untuk bermegah menakrif kemenangan yang digenggami?
Biar Dia sahaja yang menilai kehebatan diri
Sesungguhnya imanku hanya untuk tontonan si Penguasa bumi
Ramadhan yang baru berlalu akan tetap kembali
Cuma mungkin, kita tidak akan bersua lagi

