Kekalahan Dalam Kemenangan
0Setiap kali ungkapan KEMENANGAN dilaungkan, ia terus membawa konotasi yang positif. Manakan tidak? Siapa yang ada di dunia ini yang tidak mahukan kemenangan. Tidak kira dari segi apapun, kemenangan bererti seseorang itu telah berjaya menakluki atau mengatasi sesebuah rintangan dan berasa gembira setelah melakukannya. Akan tetapi, jika ia dicerakin lebih dalam lagi, kemenangan boleh juga dilihat dari sudut bukan konvensional, iaitu sudut negatif.
Bulan kesembilan di dalam kalendar Islam iaitu bulan Ramadan baru sahaja meninggalkan kita. Dan kita sering mendengar bahawa dengan menunaikan ibadah dan tuntutan agama ini, kita sudahpun mengecapi kemenangan. Menahan lapar dan dahaga untuk sehari suntuk sememangnya mencabar keupayaan sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi dengan menjalankan aktiviti seharian seperti bekerja bagi yang dewasa dan untuk pelajar pula, bersekolah. Dan apabila masuk waktu berbuka, kemenangan berpuasa ini ‘dihadiahkan’ dengan juadah yang berbeza-beza untuk dijadikan santapan. ‘Hadiah’ berpuasa bukan setakat berhenti di situ. Apa yang lebih dinanti-nantikan ialah 1 Syawal dan pada masa inilah, Hari Raya disambut dengan meriah. Ini melambangkan berakhirnya bulan puasa dan ia sewajarnya diraikan kerana kita sudahpun ‘berjuang’ selama sebulan.
Akan tetapi, wajarkah Hari Raya ini disambut jika seseorang itu tidak menunaikan ibadah puasa? Bahkan dengan melakukan perkara seperti makan di khalayak ramai di siang hari tidak sedikitpun menunjukkan rasa hormat terhadap bulan tersebut. Tidak, bukan tujuan saya sama sekali untuk mempertikaikan hak saya untuk menilai seseorang. Cuba kita lihat isu ini daripada sudut yang lebih objektif.
Analoginya senang sahaja. Kita mengibaratkan sambutan Hari Raya itu sebagai ‘hadiah’. Dan hadiah hanya diberikan kepada mereka yang memenuhi beberapa syarat sahaja. Lantas, jika berpuasa merupakan syarat untuk berhari raya, bukankah mereka yang ingin menyambutnya harus memenuhi syarat ini? Kita pasti pernah mendengar ibu-ibu memberitahu anak mereka tentang peri pentingnya berpuasa itu sebelum menyambut Hari Raya. Jika anak kecil dimarah ibunya kerana tidak berpuasa, mereka yang sudah dewasa dianggap sudah cukup matang untuk menilai sendiri perbuatan mereka itu. Apakah kemenangan yang dikecapi di sini? Sambutan Hari Raya disini seolah-olah menggembar-gemburkan ethos bahawa berpuasa bukanlah kriteria untuk berhari raya.
Namun, timbul sebuah lagi persoalan. Adakah kita akan menahan diri daripada perkara-perkara ini hanya untuk tidak membatalkan puasa? Apa pula yang akan berlaku setelah sebulan itu berlalu? Meraikan kemenangan tidaklah salah tetapi ada di kalangan mereka yang berbelanja dengan berlebihan sehingga ke tahap membazir. Setiap kali Syawal, kesemuanya mesti yang baharu. Tidaklah salah, namun ia perlu kena pada tempatnya. Kita memang digalakkan untuk berpakaian sedemikian tetapi ia bukanlah perkara yang wajib. Dengan hanya pandai menggayakannya, pakaian tahun-tahun yang lalu boleh tampak seperti yang baharu. Dan saya tahu ada diantara mereka yang membeli lebih daripada satu pasang baju setiap kali menjelangnya hari raya. Daripada pakaian lama itu terperuk di dalam almari, bukankah ia lebih baik digunakan. Walaupun ia bukan pakaian yang baharu, tiada yang akan menilai anda kerana pakaian bukannya satu-satunya perkara dan sama sekali tidak segala-galanya.

