Ekstremisme Dalam Seharian
0
“Kecantikan” dan kesihatan – mana satukah yang menjadi keutamaan? Sebelum menjawab soalan itu, mari kita renungkan bersama istilah “kecantikan” terlebih dahulu. Wujudnya bagi sesetengah kelompok manusia, “kecantikan” bererti tubuh badan yang langsing umpama ratu-ratu peragawati sehinggakan timbul pula obsesi untuk menguruskan badan secara intensif. Impian mereka itu malangnya dicapai melalui cara yang memudaratkan; dengan memuntahkah kembali makanan yang telah diambil ataupun menyeksa tubuh mereka dalam kebuluran. Yang dimaksudkan ialah penyakit “bulimia nervosa” dan “aneroxia nervosa” yang semakin bermahajarela di kalangan pejuang “kecantikan”. Ternyata, istilah “kecantikan” harus dipermasalahkan bagi golongan manusia yang menghidapi penyakit gangguan pemakanan ataupun “eating disorder”.
Yang menjadi kekhuatiran adalah apabila kesihatan individu-individu itu tergugat akibat cara pemakanan yang ekstrim lalu menjejas kesihatan mereka. Mangsa-mangsa yang asyik terhadap kelangsingan yang ekstrim ini sememangnya mengalami krisis psikologi di mana mereka tetap berfikiran bahawa tubuh badan mereka masih kurang memuaskan dan berusaha untuk menurunkan berat badan. Kelangsingan yang ekstrim amat ketara sekali dewasa ini di kalangan wanita yang mahukan kejelitaan dari segi tubuh badan yang ideal sehingga ia merupakan gejala yang membimbangkan. Haruskah kejelitaan dan kewanitaan dilihat dari segi tubuh badan yang langsing sahaja? Apakah pula permaknaan “langsing” itu jikalau penyakit-penyakit seperti “aneroxia” dan “bulimia” kian membelenggui masyarakat?
Hakikatnya, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan mangsa-mangsa penyakit gangguan pemakanan sahaja. Tidak dapat disangkal bahawa fenomena sebegitu membiak dengan wujudnya satu aspirasi untuk mengkomersialkan masyarakat. Nilai komersial amat dititik-beratkan oleh masyarakat konsumeris dan ini melahirkan sekelompok mangsa-mangsa yang terperangkap dalam jerat “kecantikan” yang membahayakan. Lihat sahaja betapa banyaknya jumlah iklan dan produk kecantikan yang menekankan kelangsingan tanpa memikirkan tentang kesihatan para penggunanya. Bayangkan pula bagaimana kegusaran ini dapat dicegah jika aspirasi masyarakat dapat dikawal daripada terus membiak dan memusnahkan psikologi pengguna-pengguna. Alangkah payahnya untuk mencapai misi itu!
Ternyata, penyakit gangguan pemakanan ini mencerminkan satu reaksi yang amat ekstrim. Ekstremisme dalam cara pemakanan memang wujud semenjak zaman dahulu dan
malangnya semakin berleluasa dalam masyarakat yang serba moden ini. Seawal tahun 1870an, doktor-doktor di Britain telah mengesahkan kewujudan penyakit “aneroxia” dan “bulimia” di mana gadis-gadis didapati melaparkan diri mereka untuk kelihatan kurus belaka. Tidaklah hairan mengapa kes-kes sedemikian berlaku pada waktu itu kerana wujudnya fesyen Victorian yang menekankan permaknaan “kecantikan” kepada pinggang yang amat langsing dan kecil sekali. Pakaian Victorian pada ketika itu sengaja dijahit kecil pada pinggangnya dan wanita-wanita haruslah memuatkan diri masing-masing dalam pakaian itu. Betapa rumitnya kehendak fesyen zaman dahulu! Yang pasti, ekstremisme sebegini berterusan hinggalah ke hari ini di mana amat ketaranya peragawati-peragawati yang menghadapi penyakit “aneroxia” dan “bulimia” untuk kelihatan langsing dalam pakaian-pakaian yang diperagakan.
Sayangnya, kecantikan dan kesihatan sering dilihat sebagai bercanggah dan kurangnya usaha dan aspirasi setiap individu untuk mencapai kedua-duanya sekali. Persoalannya, bolehkah kita memanfaati daripada kedua-dua ciri itu? Jawapannya mudah sahaja. Pemakanan yang seimbang haruslah dituntut oleh sesiapa yang menginginkan kecantikan di samping kesihatan yang ideal. Sebagai contoh, pengambilan buah tomato yang mengandungi khasiat yang baik bagi tubuh badan dan memperhaluskan lagi kulit supaya sentiasa kelihatan anggun. Natijahnya, cara pemakanan yang ekstrim haruslah dielak agar kehidupan seharian akan menjadi lebih bermakna- sihat dan anggun sentiasa!

