Ketaksuban: Antara Sentimen dan Akal

0

Sebut sahaja ektremisme dalam Islam dan kebanyakan orang akan memikirkan tentang isu pengganasan. Walaubagaimanapun, ektremisme dalam Islam tidak terbatas pada isu pengganasan sahaja. Salah satu sifat yang keterlaluan ialah ketaksuban dengan seseorang guru agama atau sesuatu ajaran. Walaupun kesan ketaksuban ini tidaklah sedahsyat kesan pengganasan, janganlah kita memandang remeh akan masalah ini kerana ia boleh menjejas kesejahteraan masyarakat secara umumnya. Isu ketaksuban boleh dilihat dari beberapa sudut. Lazimnya, seseorang itu akan berasa taksub samada dengan ajaran yang dibawa ataupun dengan kebolehan guru agama tersebut.

Mereka yang taksub dengan sesuatu ajaran sering memegang keras akan pendapat yang terkandung dalam ajaran tersebut. Bahkan, mereka mempunyai persepsi bahawa setiap pendapat yang berbeza dari ajaran mereka itu adalah salah. Natijahnya, mereka sering akan menghukum sesuatu pendapat yang berbeza sebagai sesat walaupun  pendapat tersebut mempunyai pelbagai dalil dan hujah yang sahih. Beberapa tahun yang lalu, filem Arwah Yasmin Ahmad yang berjudul ‘Gubra’ menimbulkan kontroversi apabila watak bilal dalam filem tersebut memegang seekor anjing dalam perjalanan ke masjid. Walaupun perbezaan pendapat itu sesuatu yang sering berlaku, tetapi perdebatan dalam hal tersebut dilakukan dengan tidak berhemah. Penonton yang berbeza pendapat dengan cepat menghukum dan menyalahkan antara satu sama lain walhal, para a’lim ulama sendiri mempunyai pelbagai pendapat dalam isu najis dan memegang anjing. Ini adalah salah satu contoh dimana masyarakat terlalu taksub dengan sesuatu pendapat sehinggakan mereka merumuskan perbezaan pendapat sebagai sesat tanpa usul periksa.

Ada pula golongan yang terlalu taksub dengan karisma dan kebolehan seseorang guru agama berbicara dan berceramah sehingga menjadikan ia sebagai kayu ukur akan kea’liman guru agama tersebut. Ketaksuban terhadap faktor-faktor luaran sebegini menyebabkan mereka menerima setiap ajaran yang disebarkan bulat-bulat tanpa memikirkan dan menilai kebenaran dan kesahihan ajaran tersebut. Beberapa bulan yang lalu, masyarakat Islam Singapura digegarkan dengan kumpulan Madrasah Faiz Al-Baqarah yang telah difatwakan oleh MUIS sebagai sesat. Pengikut kumpulan tersebut terpedaya dengan kata-kata ‘ustaz’ mereka yang mendakwa boleh menerima wahyu dan gurunya ialah manifestasi cahaya Nabi Muhammad S.A.W. Disebabkan pengaruh dan ketaksuban itu, mereka menerima ajaran yang disebarkan oleh ‘ustaz’ tersebut walaupun ia tidak munasabah.

Ternyata, ketaksuban terhadap seseorang guru dan ajaran boleh mendatangkan kesan yang negatif terhadap masyarakat. Alangkah dukacitanya jika kerana ketaksuban tersebut, masyarakat kita menjadi mandul dalam pemikiran sekaligus menjejas kebolehan mereka berfikir dan menilai antara hak dan batil dalam beragama. Bahkan, jika tidak dikekang, ia boleh membawa kepada kesesatan. Mentelah lagi, ketaksuban boleh meretakkan ukhuwah dalam masyarakat apabila mereka yang berbeza pendapat sering bertengkar dan menghukum antara satu sama lain. Khilaf itu adalah perkara biasa, namun pertengkaran yang tidak berhemah dan beretika boleh memecah-belahkan lantas melemahkan masyarakat Islam secara amnya.

Mungkin sudah masanya kita menilai dan mengkaji kembali pendekatan beragama dalam masyarakat kita. Jika kita mendalami sejarah tokoh-tokoh Islam yang terkemuka seperti Imam Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan sebagainya, kita akan mendapati bahawa dalam ikhtiar mereka untuk mencari ilmu, mereka menuntut dengan pelbagai ulama dan guru agama dari pelbagai tempat. Bahkan, mereka membicarakan khilaf yang mereka hadapi dengan minda dan hati yang terbuka dalam suasana yang matang, peka dan saling hormat-menghormati. Kini, dengan semangat tahun bulan Muharram, marilah kita ‘berhijrah’ dari takuk pemikiran yang lama kepada yang baharu dan progresif. Insya’Allah, dengan saling hormat-menghormati dalam perbezaan, kita akan dapat menjana dan membangunkan masyarakat yang berdaya saing namun kekal dalam menjalinkan ukhuwah sesama saudara.


Tentang Penulis

Zulqarnain.Akudeta Percaya akan pentingnya berminda terbuka dan berlapang dada, Zulqarnain Mohamad berpandangan bahawa perbezaan pendapat, selagi mana ia berasas, adalah satu proses pengayaan diri dan cendekia. Selain dari membaca dan berbincang tentang isu-isu semasa bersama rakan-rakan, Zulqarnain meluangkan masanya untuk berbasikal, menonton atau mendengar muzik dan menulis puisi dalam Bahasa Inggeris. Penulis berharap agar karya penulisannya dapat meninggalkan kesan dan dapat direnungkan bersama-sama oleh para pembaca.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*




You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa